07/07/2026 05:33 PM

Polis Bongkar Aktiviti Proses e-Waste Haram, Tahan 11 Warga Asing

BUKIT MERTAJAM, 7 Julai (Bernama) -- Polis membongkar aktiviti di sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan penyimpanan dan pemprosesan sisa elektronik atau e-waste secara haram di Lorong Pengkalan Indah, Bukit Tengah, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Norazizi Saad berkata dalam operasi bersepadu menerusi Op Hazard (E-Waste) itu, pihak berkuasa merampas sejumlah besar sisa elektronik yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit serta menahan 11 warga asing bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan oleh pasukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menemukan 80 blok padat sisa elektronik serta lapan beg jumbo mengandungi komponen komputer dan papan induk.

"Sampel bahan itu diambil JAS bagi tujuan analisis dan pengesahan di bawah kod buangan terjadual manakala kes disiasat mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi berkenaan dijalankan pada 11.55 pagi oleh Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT bersama JAS negeri, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) negeri serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Norazizi berkata MBSP turut mengeluarkan dua kompaun terhadap premis berkenaan kerana menjalankan aktiviti penyimpanan barang tanpa lesen yang sah.

Beliau berkata kesemua 11 warga asing berusia antara 26 hingga 59 tahun itu dipercayai bekerja di premis berkenaan, dengan 10 daripadanya disyaki melanggar syarat pas manakala seorang lagi tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka direman hingga 20 Julai ini bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

-- BERNAMA