07/07/2026 03:28 PM

Kes Tikam Sekolah: Anak Saya Masih Trauma, Biar Polis Jalankan Siasatan - Bapa

KUALA LANGAT, 7 Julai (Bernama) -- Bapa kepada pelajar perempuan yang ditikam di sebuah sekolah di Banting, di sini, semalam memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menyerahkan siasatan kepada pihak polis sepenuhnya. 

Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata beliau mengambil maklum mengenai dakwaan yang tular membabitkan senarai nama sasaran yang turut terdapat nama anaknya oleh suspek perempuan yang merupakan bekas rakan sekelas. 

“Saya tidak mahu mengulas lanjut biar polis jalankan siasatan…surat itu tak diyakini, kita pun tak dapat nak pastikan. Saya ingin menegaskan bahawa anak saya bukan pembuli, dia hanya buat kerja dia sahaja, kalau keluar rumah pun saya atau emak dia yang hantar, dia tak pernah keluar sendiri dengan kawan-kawan.

“Kalau rasa nak kata buli itu memang mungkin tidaklah. Kami dengan keluarga suspek tidak mengenali, anak saya pun tak pernah cerita pun tentang kawan dia ini (suspek) dan anak saya seorang pendiam, bila tanya baru jawab, bila perlu sahaja dia akan minta,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting, di sini, hari ini. 

Beliau turut bersedia memberikan kerjasama kepada pihak polis jika siasatan mendapati terdapat elemen buli dalam kes berkenaan selain turut bersedia untuk berjumpa dengan keluarga suspek.

Dalam pada itu, Mohd Firuz berkata berdasarkan makluman petugas perubatan anaknya dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh seminggu, bergantung kepada tahap pemulihannya. 

Beliau berkata anaknya yang berusia 15 tahun kini masih berada dalam keadaan trauma namun dilaporkan stabil selepas menjalani rawatan selama empat jam di Unit Rawatan Rapi semalam bagi mengeluarkan darah dari paru-parunya.

“Sebagai bapa melihat  keadaan anak amat menyedihkan, ini kerana kami tidak pernah memukulnya apatah lagi apabila anak ditikam, namun perkara telah berlaku dan kami reda dengan ketentuan ini," katanya.

Beliau turut berharap agar insiden berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak selain menggesa pengurusan sekolah memperketat kawalan keselamatan.

Terdahulu, suspek kes tikam seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah di Banting direman empat hari bermula hari ini hingga 10 Julai nanti. 

-- BERNAMA