Perbelanjaan Luar Pesisir Asia Pasifik kekal Stabil Selepas Konflik Asia Barat
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Perbelanjaan sektor luar pesisir di rantau Asia Pasifik kekal stabil secara keseluruhannya selepas konflik di Asia Barat, dengan perbelanjaan modal (capex) bagi projek baharu di Asia Tenggara dianggarkan meningkat 12 peratus kepada lebih US$100 bilion (US$1 = RM4.08).
Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam nota penyelidikan hari ini, peningkatan itu mencerminkan keutamaan yang lebih tinggi terhadap pembangunan projek luar pesisir baharu.
Bank pelaburan itu memaklumkan, capex bagi medan minyak pasca gerudi pula dijangka dipacu oleh Asia Selatan (+23.0 peratus) dan Asia Tenggara (+3.0 peratus), sekali gus menunjukkan pelaburan berterusan dalam aset sedia ada bagi menyokong daya tahan bekalan dalam tempoh terdekat.
Walaupun perjanjian gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih rapuh, HLIB berpandangan perkembangan semasa menunjukkan ketegangan yang semakin reda, dan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) 14 perkara antara AS dan Iran berpotensi menjadi titik perubahan penting dalam ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Trafik perkapalan di sepanjang Selat Hormuz juga dilihat semakin pulih susulan pemeteraian MoU itu, walaupun jumlah sebenar kapal mungkin lebih rendah berbanding yang direkodkan berikutan imej satelit menunjukkan lebih banyak kapal melalui laluan itu dengan transponder Sistem Pengecaman Automatik (AIS) dimatikan.
Menurut HLIB penilaiannya terhadap sektor minyak dan gas berdasarkan dua faktor utama pelaburan iaitu pertama; sama ada penyelesaian mengenai keselamatan tenaga dan peningkatan rizab inventori pada akhirnya dapat untuk memberi manfaat kepada pemain industri saluran paip dan kemudahan terminal tangki penyimpanan.
"Faktor kedua adalah kemungkinan berlaku peningkatan semula kitaran capex Petroliam Nasional Bhd menjelang 2027.
“Peningkatan ini dijangka memberi sokongan kepada syarikat tempatan dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), khususnya bagi yang terlibat dalam pembangunan huluan, kerja-kerja penyambungan dan pengoperasian, penyelenggaraan, sokongan marin, fabrikasi serta kerja-kerja berkaitan saluran paip," menurutnya.
Unjuran harga minyak
HLIB menyemak turun unjuran harga minyak mentah Brent bagi 2026 kepada US$80 setong daripada US$90 setong manakala unjuran harga bagi tahun hadapan dikekalkan pada US$75 setong.
Menurutnya, laporan Unjuran Tenaga Jangka Pendek bagi Jun oleh Energy Information Administration AS menunjukkan penyusutan ketara stok simpanan minyak komersial dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
HLIB memaklumkan jumlah bekalan minyak yang tersedia menyusut iaitu hanya untuk kegunaan selama 50 hari menjelang akhir 2026, lebih rendah berbanding paras sebelum perang iaitu melebihi 60 hari bekalan.
"Berikutan penyusutan inventori global, kami menjangka harga minyak kekal pada paras yang tinggi iaitu US$80 setong sehingga aliran minyak global kembali kepada keadaan biasa dan simpanan minyak ditambah semula.
“Pada pendapat kami, harga minyak mentah Brent kekal disokong pada paras melebihi US$75 setong sehingga awal 2027 sekiranya proses menambah semula stok simpanan minyak mengambil masa melebihi tahap bekalan 60 hari, mencerminkan keutamaan yang lebih tinggi terhadap keselamatan tenaga," menurutnya.
Menurut bank pelaburan itu, harga minyak berpotensi untuk terus mendapat sokongan sekiranya pemulihan pengeluaran mengambil masa yang lebih lama susulan peningkatan jumlah pengeluaran minyak yang dihentikan sementara di rantau Selat Hormuz kepada 45 peratus pada Mei 2026 berbanding 35 peratus pada Mac 2026.
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata berkata harga minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate (WTI) menyusut dengan ketara daripada paras tertinggi terbaharu, dengan harga pada masa ini mula stabil dalam julat US$70 hingga US$75 setong.
Beliau berkata sekiranya paras harga itu dapat dikekalkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, keadaan itu akan mewujudkan persekitaran operasi yang lebih baik kepada perniagaan dengan mengurangkan kos input berkaitan tenaga serta meningkatkan kepastian kos.
"Secara keseluruhannya, harga minyak yang kekal dalam julat US$70 hingga US$75 setong akan membantu meredakan tekanan inflasi global dengan mengurangkan inflasi tolakan kos.
“Keadaan ini akan menyokong pelaburan perniagaan, mengukuhkan kuasa beli pengguna dan memberikan lebih fleksibiliti kepada bank pusat untuk mengekalkan dasar monetari yang menyokong, sekali gus memperteguh pemulihan ekonomi global,” katanya kepada Bernama.
Sehingga berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 0.90 peratus kepada US$69.17 setong manakala minyak mentah WTI naik 0.94 peratus kepada US$72.67 setong.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Niaga Hadapan FBM KLCI Ditutup Rendah
- NBF Thailand Pelawa Malaysia Jalin Kerjasama Penyelidikan Biofarmaseutikal
- PM Thailand Lawat Malaysia Menjelang Pembukaan Pos Sempadan Baharu Sadao
- Sindiket Vape Berisi Dadah Furanylfentanyl Tumpas, Rampasan Bernilai Lebih RM34 Juta
- PRN Johor: KTMB Tawar 7,464 Tempat Duduk Tambahan Tren ETS, Diskaun 20 Peratus