Sindiket Vape Berisi Dadah Furanylfentanyl Tumpas, Rampasan Bernilai Lebih RM34 Juta
PADANG BESAR, 7 Julai (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah disyaki jenis furanylfentanyl yang diisi dalam kartrij rokok elektronik atau vape selepas merampas 228.75 liter bahan terlarang itu bernilai RM34.31 juta dalam tiga serbuan di sekitar Padang Besar dan Arau, minggu lepas.
Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata hasil operasi turut menahan seorang wanita warga Thailand berusia 38 tahun serta dua lelaki tempatan berusia 68 dan 55 tahun.
Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah stor penyimpanan barang di Kampung Panggas, di sini pada 1 Julai, polis menahan wanita berkenaan serta merampas 172 kotak mengandungi 75,540 kartrij vape berisi dadah berkenaan sebanyak 188.85 liter.
“Susulan tangkapan itu, polis menahan lelaki berusia 68 tahun di Kampung Guar Musang, Bukit Keteri, keesokannya dan merampas 35 kotak mengandungi 21,000 kartrij vape disyaki berisi dadah sama sebanyak 39.9 liter,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Muhammad berkata lelaki berusia 55 tahun pula ditahan pada 3 Julai, dalam serbuan di sekitar Ulu Pauh, Arau.
Beliau berkata keseluruhan dadah dirampas mampu digunakan kira-kira 457,500 orang.
“Sindiket itu dipercayai menggunakan stor penyimpanan barang dan rumah kediaman sebagai lokasi transit sementara sebelum kartrij vape mengandungi dadah itu dihantar ke negara jiran,” katanya.
Muhammad berkata lelaki berusia 55 tahun itu didapati positif dadah manakala semakan mendapati kedua-dua lelaki terbabit memiliki rekod berkaitan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.
Ketiga-tiga individu berkenaan kini direman hingga esok untuk siasatan mengikut ADB 1952 manakala polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Selepas Menjejaki Kerugian COMEX
- Pelbagai Inisiatif Kerajaan Perkasa Pembangunan Komuniti FELDA
- Fahmi Hargai Komitmen Petugas Bernama Berikan Liputan Komprehensif Sepanjang PRN Johor
- Penyedia Platform Media Sosial Perlu Proaktif Kekang Maklumat Palsu PRN Johor - Fahmi
- PRN Johor: Kehadiran Anwar Bantu Kempen Dapat Sambutan Menggalakkan - Fahmi