07/07/2026 06:58 PM

PM Thailand Lawat Malaysia Menjelang Pembukaan Pos Sempadan Baharu Sadao

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 7 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula Khamis ini  atas undangan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha memperkukuh lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Jurucakap Kerajaan Ratchada Thanadirek berkata lawatan dua hari itu memperlihatkan komitmen kedua-dua negara jiran bagi mencapai hasil yang nyata dalam pelbagai bidang kerjasama.

"Lawatan Perdana Menteri ini menandakan langkah penting dalam memajukan kerjasama dua hala dan memberikan hasil yang konkrit ketika Thailand dan Malaysia bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada 2027," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Lawatan itu merupakan kunjungan ketiga Anutin ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai perdana menteri. Beliau sebelum ini menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada 25 Okt tahun lepas, disusuli lawatan rasmi pada 26 Nov.

Menjelang lawatan itu, Ratchada berkata Kabinet Thailand pada Selasa meluluskan pembukaan pos sempadan tetap Sadao yang baharu bermula 11 Julai, langkah yang dijangka dapat meningkatkan logistik rentas sempadan serta memudahkan urusan perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara Thailand dan Malaysia.

"Pos sempadan baharu itu, yang akan menggantikan lintasan Sadao sedia ada, akan beroperasi setiap hari dari 5 pagi hingga 11 malam (waktu Thailand) di bawah pemberitahuan Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Ratchada berkata Kabinet juga mengarahkan agensi berkaitan untuk mempercepatkan projek infrastruktur sokongan, termasuk pembinaan jalan penghubung bagi meningkatkan aliran trafik di sebelah Thailand, langkah mengurangkan kesesakan di sekitar pos sempadan, dan penyediaan perkhidmatan bas ulang-alik yang menghubungkan pos sempadan dengan kawasan pedalaman.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri, pihak berkuasa Wilayah Songkhla, Pejabat Kastam Sadao dan agensi lain telah diarahkan untuk mempergiat kempen kesedaran awam mengenai laluan trafik baharu, prosedur kastam dan imigresen, serta langkah-langkah kerajaan untuk memudahkan perdagangan dan pelancongan rentas sempadan bagi perniagaan dan penduduk di komuniti sempadan Dan Nok.

Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao yang baharu di Wilayah Songkhla itu akan dihubungkan dengan pintu sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah, Malaysia, dan dijangka meningkatkan dengan ketara pergerakan barangan serta pengembara merentasi sempadan Thailand-Malaysia.

-- BERNAMA