PRN Johor: KTMB Tawar 7,464 Tempat Duduk Tambahan Tren ETS, Diskaun 20 Peratus
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 7,464 tempat duduk tambahan bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) sektor selatan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hujung minggu ini.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan penawaran perkhidmatan tren ETS tambahan itu melibatkan laluan JB Sentral - Gemas - JB Sentral serta KL Sentral - JB Sentral - KL Sentral bagi menampung permintaan perjalanan pengundi yang pulang ke kampung halaman.
Inisiatif terbaharu itu dibuat susulan permintaan tinggi daripada orang ramai selepas tiket tren tambahan yang dilancarkan pada 19 Jun lepas telah habis dijual sepenuhnya.
“Bagi fasa ini, KTMB menambah empat perkhidmatan tren tambahan bagi laluan KL Sentral - JB Sentral - KL Sentral dan empat lagi perkhidmatan tren tambahan bagi laluan JB Sentral - Gemas - JB Sentral.
“Siri tren tambahan ini akan beroperasi selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Julai ini dengan kapasiti penawaran sebanyak 2,488 tempat duduk sehari,” menurut kenyataan itu.
KTMB turut memaklumkan proses jualan tiket bagi laluan JB Sentral - Gemas - JB Sentral telah pun dibuka bermula 3.00 petang hari ini sementara jualan tiket bagi laluan KL Sentral - JB Sentral - KL Sentral pula akan mula dibuka pada 9.00 pagi esok.
Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan rel, KTMB turut menawarkan tambang promosi dengan diskaun sebanyak 20 peratus bagi kesemua laluan tren ETS tambahan berkenaan sepanjang tempoh tiga hari pengoperasian itu.
Orang ramai khususnya para pengundi disaran untuk merancang perjalanan serta membuat pembelian tiket lebih awal secara tanpa tunai melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau mesin kios di stesen terpilih.
Para penumpang juga dinasihatkan supaya tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit lebih awal memandangkan pintu masuk ke platform tren akan ditutup lima minit sebelum waktu tren berlepas.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau layari platform media sosial rasmi agensi berkenaan.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Selepas Menjejaki Kerugian COMEX
- Pelbagai Inisiatif Kerajaan Perkasa Pembangunan Komuniti FELDA
- Fahmi Hargai Komitmen Petugas Bernama Berikan Liputan Komprehensif Sepanjang PRN Johor
- Penyedia Platform Media Sosial Perlu Proaktif Kekang Maklumat Palsu PRN Johor - Fahmi
- PRN Johor: Kehadiran Anwar Bantu Kempen Dapat Sambutan Menggalakkan - Fahmi