PRN Johor: Cheah Fokus Isu Tempatan, Ketepi Polemik Politik Nasional
Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memasuki fasa akhir dan parti politik semakin rancak memainkan isu nasional, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup Cheah Chee Hong memilih pendekatan berbeza dengan memfokuskan isu tempatan sepenuhnya.
Ini kerana, Cheah berpandangan pengundi pada masa kini mahu mendengar penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi setiap hari berbanding perdebatan politik pada peringkat nasional.
“Saya tidak mahu bercakap tentang politik atau isu negara kerana semua orang sudah melihatnya setiap hari melalui media sosial. Saya hanya mahu bercakap tentang Kukup,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini hari ini.
Cheah berkata sepanjang berkempen setakat ini, beliau melawat pelbagai kawasan di Kukup bagi mendengar sendiri keluhan penduduk sebelum merangka keutamaan yang perlu diselesaikan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, antara isu paling kerap dibangkitkan ialah masalah kutipan sampah yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lepas, liputan Internet yang lemah dan bekalan elektrik yang tidak stabil sehingga menjejaskan peralatan elektrik penduduk.
Cheah berkata penyelesaian terhadap isu asas itu perlu menjadi keutamaan sebelum Kukup dapat dibangunkan sebagai destinasi pelancongan bertaraf nasional.
Dalam pada itu, beliau menggariskan cadangan menaik taraf infrastruktur seperti jalan raya, lampu jalan, tempat letak kereta serta kemudahan pelancongan selain memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mempromosikan Kukup.
Beliau berkata kedudukan Kukup yang berhampiran bandar raya Johor Bahru, pembukaan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura serta lokasi dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi kelebihan yang perlu dimanfaatkan untuk merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Cheah turut mencadangkan sebuah pasar malam berskala besar diwujudkan bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan menjalankan perniagaan sebagai usaha meningkatkan pendapatan serta menarik lebih ramai pelancong.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap kempen berbentuk penyelesaian masalah setempat dapat meyakinkan pengundi menjelang hari pengundian, selain menyeru anak jati Kukup di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi.
Kerusi DUN Kukup menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Cheah dan calon Barisan Nasional (BN) Md Israk Abdullah.
PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N56: KUKUP: 34,968 pengundi
1. Md Israk Abdullah (BN-UMNO)
2. Cheah Chee Hong (PH-PKR)
(2022: Datuk Jefridin Atan: BN-UMNO: Maj: 8,201)
Berita terkini
- JKM Seru Hentikan Segera Penyebaran Kandungan Dedah Identiti Kanak-kanak
- Malaysia-UAE Perkukuh Hubungan Dua Hala, Teroka Bidang Kerjasama Strategik
- Polis Pulau Pinang Lupus Barang Kes Bernilai RM1.27 Juta
- Nurul Izzah Buru Catatan Masa Peribadi Terbaik, Pingat Jadi Bonus Di Glasgow 2026
- NADMA Dilantik Pusat Tumpuan Nasional Di Bawah UNFCCC, Perkukuh Akses Malaysia Kepada Dana Iklim