PRN Johor: Ahmad Zahid Seru Anggota Keselamatan Tunai Undi Awal Dengan Amanah
JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru anggota keselamatan yang mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini agar menunaikan tanggungjawab mereka itu dengan penuh amanah.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata pengundi berkenaan perlu membuat pilihan terbaik demi menjamin kestabilan, kemajuan dan masa depan Bangsa Johor.
“Semoga seluruh proses pengundian awal anda semua berjalan dengan lancar, aman dan dipermudah oleh Allah SWT. Insya-Allah,” katanya, di samping mengucapkan selamat mengundi kepada anggota keselamatan menerusi hantaran Facebook beliau.
Sebanyak 24,751 pengundi awal yang layak akan melaksanakan amanah mereka di 64 pusat mengundi yang dibuka tepat pada 8 pagi ini.
Pengundi awal bagi PRN Johor kali ini terdiri daripada 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama pasangan serta 12,710 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan masing-masing.
Semua pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang, bergantung pada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar.
PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.
Pada PRN Johor kali ini, BN dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempertaruhkan 56 calon, Perikatan Nasional (PN) (33), Parti Bersama Malaysia (Bersama) (15), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (empat), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon, manakala calon Bebas sebanyak enam orang.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Lelaki Maut Dalam Kejadian Langgar Lari Selepas Tukar Tayar
- Penjawat Awam Rugi Lebih RM60,000 Diperdaya Sindiket Tawaran Kerja Sambilan
- Amaran Ribut Petir Di Enam Negeri, Labuan Hingga 12 Tengah Hari
- PRN Johor: Cheah Fokus Isu Tempatan, Ketepi Polemik Politik Nasional
- PRN Johor: Saifuddin Nasution, Khaled Seru Pengundi Awal Tunai Amanah