06/07/2026 07:57 PM

Mahkamah Rayuan Benar Ikat Jamin 14 Warga Asing Didakwa Miliki Dadah

PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin terhadap setiap seorang daripada 14 warga asing sementara menunggu perbicaraan kes pertuduhan memiliki dadah selesai.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menetapkan beberapa syarat ikat jamin, termasuk penjamin mesti warganegara Malaysia yang mempunyai alamat kediaman tetap di Malaysia.

Mahkamah turut memerintahkan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, melapor diri sekali setiap dua minggu di balai polis berhampiran dengan alamat kediaman tetap penjamin masing-masing, serta peguam perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selepas pas khas mereka diperbaharui.

Terdahulu, panel itu menolak bantahan awal pihak pendakwaan bahawa Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan ikat jamin berkenaan.

Hakim Noorin berkata Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan berasingan yang bertujuan meminda atau mengetepikan perintah penolakan ikat jamin.

Enam daripada pemohon adalah antara 14 individu yang didakwa di Mahkamah Majistret pada 26 Mei tahun ini atas pertuduhan memiliki 15 gram methamphetamine, dan kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Mahkamah Majistret membenarkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh warga Malaysia, namun menolak ikat jamin bagi enam warga asing terbabit.

Mereka memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi, bagaimanapun pada 29 Mei tahun ini permohonan itu ditolak, dan kemudian memfailkan permohonan ikat jamin baharu di Mahkamah Rayuan.

Enam individu itu ialah Yang Yang dari China; Rio Antoni, Billy Hariyanto, Erwin Wijaya dan Edy Tjong dari Indonesia; serta Pornchai Kaewsapsak dari Thailand, dan masing-masing berusia antara 25 hingga 43 tahun. 

Pada 26 Mei lepas, lapan lagi warga asing berusia antara 29 hingga 39 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret yang berasingan atas pertuduhan memiliki 2.7 gram pil ekstasi.

Mereka pada awalnya dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin bagi setiap seorang, dengan syarat penjamin mesti warganegara Malaysia.

Mereka ialah Joshua Bangun, Alexander Wipyanou dan Jeffry Jayadi dari Indonesia; Romar Languji dari Filipina; Krassanai Phonchaijia, Tanowit Suttiglud dan Kunut Lertphirun dari Thailand; serta Yue Zhou dari China. 

Bagaimanapun, pada 3 Jun lepas, Mahkamah Tinggi membatalkan ikat jamin yang diberikan kepada tertuduh itu, menyebabkan mereka memfailkan permohonan ikat jamin di Mahkamah Rayuan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Brickfields, Kuala Lumpur, kira-kira 4.30 pagi pada 24 Mei tahun ini.

Peguam Datuk N. Sivananthan dan Sharifah Annafiza Al-Shahab mewakili enam pemohon, manakala peguam Yong Jei Beng mewakili lapan pemohon lain.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ariff Aizuddin Masrom mewakili pihak pendakwaan.

-- BERNAMA