Mahkamah Tinggi Tolak Saman LFL Cabar Perintah Pofma Singapura
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman sivil yang difailkan oleh Lawyers for Liberty (LFL), yang mencabar usaha Singapura untuk menguatkuasakan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA) terhadap kumpulan itu pada 2020.
Hakim Datuk Azizan Md Arshad menolak permohonan LFL untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa POFMA tidak mempunyai kesan extraterritorial (luar wilayah), khususnya berkaitan hak seorang warganegara Malaysia terhadap kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam penghakimannya, Azizan berkata tidak wujud obligasi ke atas defendan (Kerajaan Malaysia) untuk bertindak atau memastikan “undang-undang dan peraturan sesebuah negara asing serta pegawai-pegawainya memenuhi bukan sahaja kehendak undang-undang negara asing itu sendiri, tetapi juga hak yang dimiliki oleh warganegara kita di bawah Perlembagaan Persekutuan.”
“Jika dilakukan terhadap sesebuah negara berdaulat, ia pertikaian tak boleh diadili. Mahkamah kita tidak mempunyai bidang kuasa untuk menolak POFMA, kerana undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen Singapura dan bukannya Parlimen kita. Walaupun POFMA mempunyai kesan luar wilayah, ia masih tertakluk kepada undang-undang Malaysia sebelum boleh dikuatkuasakan terhadap plaintif (LFL).
“Oleh itu, hujahan bahawa POFMA tidak boleh dilaksanakan kerana tidak diluluskan oleh Parlimen kita adalah tidak tepat, undang-undang negara asing tidak perlu diiktiraf oleh Parlimen kita hanya kerana ia mengandungi elemen bidang kuasa luar wilayah,” katanya sambil menambah bahawa jika undang-undang Malaysia mempunyai kesan luar wilayah, ia mesti terlebih dahulu diluluskan oleh Parlimen.
POFMA kekal sebagai undang-undang Singapura dan tidak akan diiktiraf sebagai undang-undang Malaysia.
Hakim berkata pihak defendan (Kerajaan Malaysia) juga berhujah bahawa tiada asas untuk menghalang undang-undang yang mempunyai kesan luar wilayah (extraterritorial), dan tindakan itu tidak boleh dianggap sebagai memberikan kesan luar wilayah kepada undang-undang tempatan, sehingga menjejaskan hak perlembagaan seseorang warganegara asing di negaranya sendiri.
Beliau berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan itu kerana ia di luar bidang kuasa mahkamah dan bukan peranan mahkamah untuk menangani isu hipotesis atau abstrak.
Mahkamah turut maklum bahawa di Malaysia sendiri terdapat beberapa undang-undang yang mempunyai kesan luar wilayah, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam OS yang difailkan pada 2020, LFL menyatakan Kerajaan Singapura mengeluarkan “notis pembetulan” kepada kumpulan itu pada 22 Jan 2020, susulan satu kenyataan media di laman webnya yang mendakwa kaedah pelaksanaan hukuman di Penjara Changi adalah kejam dan menyalahi undang-undang.
Menurut Kerajaan Singapura artikel itu mengandungi kenyataan fakta palsu serta mengarahkan kumpulan berkenaan membuat notis pembetulan, dan kegagalan mematuhi arahan itu akan menjadi satu kesalahan di bawah POFMA.
Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili Kerajaan Malaysia, manakala peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakili LFL.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Penerapan Nilai Kenegaraan Perlu Diperkukuh Demi Pembinaan Negara Bangsa - Anwar
- PGA Tahan 10 Warga Asing, Tumpaskan Kegiatan Seludup Migran
- Syarikat Perancis Carester Bina Loji Nadir Bumi Di Perak Hasil Usaha Sama Selama 10 Tahun
- Kenderaan BMW Diguna PM Aset Sedia Ada Kerajaan - JPM
- Teknologi Digital, AI Perlu Dimanfaatkan Untuk Pelestarian Seni Kaligrafi - Aaron