Festival Bon Odori, Edisi Ke-50 Kembali Ke Sunway City Kuala Lumpur Pada 11 Dan 12 Julai
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Festival Bon Odori akan kembali memeriahkan Sunway City Kuala Lumpur (SCKL) pada 11 dan 12 Julai, ini sempena edisi ke-50 penganjurannya, menampilkan persembahan selama dua malam, makanan jalanan Jepun, pelbagai aktiviti kebudayaan serta pertunjukan bunga api yang mengagumkan.
Bermula pada 1977 sebagai satu perhimpunan kecil dalam kalangan ekspatriat Jepun, bagi memastikan anak-anak mereka terus mengenali budaya Jepun, festival itu kini berkembang menjadi acara tahunan ikonik dalam kalendar kebudayaan Malaysia.
Sunway Pyramid dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa festival itu, akan membuka tirainya dengan persembahan dram taiko yang mengujakan, sekali gus menyemarakkan suasana hujung minggu yang dipenuhi elemen budaya dan semangat kebersamaan di Tapak Letak Kereta Terbuka SCKL (bertentangan Sunway Resort Hotel).
“Inti pati festival ini kekal tertumpu kepada tarian Bon Odori, yang dipersembahkan pada kedua-dua malam, iaitu tarian rakyat tradisional Jepun yang berakar umbi daripada musim Obon. Dalam tarian ini, para peserta akan menari secara berbulatan mengelilingi menara dram yagura, melambangkan irama bersama, penghormatan kepada kenangan serta semangat kebersamaan yang merentasi sempadan,” menurut kenyataan itu.
Pengunjung festival turut berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api pada hari pertama, menyertai pengalaman penyewaan yukata yang disertakan dengan sesi fotografi jalanan, selain menikmati persembahan khas daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Tourism Selangor dan Sunway Lagoon.
Sementara itu, The Common Market yang menghimpunkan lebih 100 gerai, akan menawarkan pelbagai pilihan makanan jalanan dan snek Jepun, hasil kraf tangan serta pelbagai barangan eksklusif festival, dengan pilihan yang sesuai untuk pengunjung Muslim dan bukan Muslim.
Permainan tradisional seperti Kingyo-sukui (menangkap ikan emas menggunakan pencedok khas) turut disediakan, bagi menghiburkan seisi keluarga dan mereka yang ingin mencuba pengalaman itu buat kali pertama.
Pengarah Urusan Sunway Malls Group HC Chan berkata pihaknya berbangga kerana SCKL terus menjadi lokasi penganjuran satu sambutan kebudayaan yang paling dihargai di Malaysia, sekali gus memupuk pertukaran budaya serta mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Jepun.
Festival Bon Odori tahun ini dianjurkan secara bersama oleh Sunway Pyramid, Visit Malaysia 2026, The Japan Club of Kuala Lumpur (JCKL), The Japanese School of Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun di Malaysia, sebagai penghargaan terhadap warisan budaya Jepun serta lima dekad persahabatan erat dan pertukaran budaya antara Jepun dengan Malaysia.
Sambutan itu turut mendapat sokongan The Japanese Chamber of Trade and Industry Malaysia, Tourism Selangor, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala The Common Market bertindak sebagai Rakan Pasaran.
Selaras dengan Tahun Melawat Selangor 2026, Sunway Pyramid berkata festival itu menarik kehadiran pelbagai pengunjung tempatan dan antarabangsa, sekali gus meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan acara.
“Dengan mengetengahkan tradisi Jepun yang penuh warna-warni di tengah-tengah SCKL, festival ini bukan sahaja menyokong ekonomi tempatan, malah memperkukuh landskap pelancongan negara menerusi pengalaman yang memberi impak melangkaui kawasan penganjuran acara,” menurut kenyataan itu.
Festival yang berlangsung dari 4 petang hingga 11 malam pada kedua-dua hari itu, adalah percuma untuk dikunjungi, namun orang ramai perlu mendaftar menerusi laman sesawang bermula 15 Jun bagi mendapatkan tempat.
Sunway Pyramid memaklumkan bahawa festival itu mudah diakses menggunakan pengangkutan awam, iaitu LRT (Laluan Kelana Jaya ke stesen USJ 7), KTM (Laluan Pelabuhan Klang ke stesen Setia Jaya) dan BRT (ke stesen Sunway Lagoon) atau berjalan kaki melalui Canopy Walk dari Sunway Pyramid, Sunway GEO Avenue dan Sunway Square Mall.
Bagi pengunjung yang memandu, kemudahan parkir yang mencukupi disediakan di beberapa lokasi berhampiran termasuk Sunway Pyramid, Sunway Resort Hotel, Menara Sunway dan The Pinnacle.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- JBMKKS Lancar Program Rintis Mediasas Akhir Julai, Peringkat Nasional Pada 2027
- RHB IB Unjur KDNK Malaysia Tumbuh 4.7 Peratus Pada 2026
- Sime Darby Property Beli Wisma UNIRAZAK Pada Harga RM160 Juta
- PRN Johor: Transformasi Ekonomi, Perumahan Felda, Agenda Utama Md Yusof Di Tenggaroh
- SUKMA Selangor 2026 Terima Suntikan Tajaan Hampir RM8 Juta