06/07/2026 07:40 PM

Unit BM Greentech Ambil Alih NEFIN V Power Pada RM3.6 Juta

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Plus Xnergy Holding Sdn Bhd, unit BM GreenTech Bhd, telah memeterai dua perjanjian jual beli (SPA) bagi mengambil alih sejuta saham biasa mewakili 100 peratus jumlah modal saham terbitan dan berbayar NEFIN V Power Sdn Bhd (NVP) yang bernilai RM3.6 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, BM GreenTech memaklumkan pengambilalihan itu merangkumi 900,000 saham biasa atau bersamaan pegangan 90 peratus daripada NEFIN Energy (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM3.24 juta serta 100,000 saham biasa atau baki 10 peratus pegangan daripada NEFINCO (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM360,000.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, syarikat penyedia penyelesaian tenaga bersih, kejuruteraan perindustrian dan cuaca itu memaklumkan turut mengambilalih sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang memiliki hak untuk membangunkan ladang solar fotovolta (PV) berkapasiti 29.99 megawatt arus ulang-alik (MWac) di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).

"Loji kuasa NVP dijangka menjana purata 60,000 megawatt jam (MWj) tenaga solar setiap tahun, sekali gus mengelak pelepasan lebih 1.1 juta tan karbon sepanjang tempoh operasi selama 25 tahun.

“Pengambilalihan ini akan menambah saluran perolehan hasil huluan bagi portfolio kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tenaga boleh baharu (TBB) BM GreenTech, sekali gus melengkapkan aktiviti perniagaan yang berasaskan projek sedia ada," menurut syarikat itu.

BM GreenTech juga menyifatkan pengambilalihan itu sebagai mengukuhkan portfolio penyelesaian bersepadu tenaga bersih dan teknologi alam sekitar kumpulan selain menyokong transformasi profil G.E.S. (penjanaan, kecekapan dan penyimpanan) tenaga bersih Plus Xnergy ke arah menjadi pemain TBB yang bersepadu.

Pada separuh pertama 2026, Plus Xnergy berjaya mengkomersialkan satu daripada projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) guna sendiri terbesar di Malaysia iaitu BESS berkapasiti 20 MWj bagi sebuah kemudahan pembuatan makanan di Perak.

Syarikat itu juga sedang terbabit dalam projek solar berkapasiti 36 megawatt puncak (MWp) dan BESS berkapasiti 45 MWj di KLIA Aeropolis yang sedang dilaksanakan.

"Pasca pengambilalihan ini, Plus Xnergy akan memperluaskan penglibatan dalam projek NVP dan melangkaui peranan sedia ada sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) kepada pemilikan serta pengoperasian aset solar berskala utiliti bagi jangka panjang," menurut syarikat itu.

-- BERNAMA