Skuad Hoki Veteran Terima Dana RM1.36 Juta Hadapi Piala Dunia Masters
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Skuad hoki veteran negara menerima suntikan dana berjumlah RM1.36 juta sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala Dunia Hoki Masters 2026 yang akan berlangsung di Belanda dan Belgium dari 22 Julai hingga 16 Ogos ini.
Presiden Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS) Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mu'adzam Shah berkata dana yang dikumpulkan menerusi sumbangan pelbagai pihak itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menampung perbelanjaan kontinjen Malaysia yang akan beraksi dalam lima kategori umur.
Beliau berkata dana berkenaan akan digunakan bagi menampung kos penginapan, perjalanan serta persiapan menghadapi kejohanan, selain membantu pemain veteran yang memerlukan sokongan kewangan untuk menyertai pertandingan itu.
"Kutipan dana ini akan digunakan bagi menampung kos penginapan, perjalanan serta persediaan menghadapi kejohanan dan acara akan datang. Pada masa sama, kami juga berharap dapat menaja bekas pemain kebangsaan terbaik yang mungkin berdepan kekangan kewangan supaya mereka dapat kembali mewakili skuad hoki veteran Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Santapan Minum Petang Diraja sempena pengumuman kutipan dana bagi kejohanan itu, di sini hari ini.
Majlis berkenaan diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku penaung SAS.
Bagi saingan kategori 40 tahun, perlawanan akan berlangsung di HC Schiedam, Schiedam, Belanda, manakala kategori 45 tahun dan 50 tahun akan beraksi di HC Rotterdam, Belanda dari 22 Julai hingga 1 Ogos.
Sementara itu, kategori 60 tahun dijadualkan berlangsung di HC Olympia, Brasschaat, Antwerp, Belgium, manakala kategori 65 tahun akan beraksi di BHV Push, Breda, Belanda dari 6 hingga 16 Ogos.
Kejohanan Piala Dunia Hoki Masters merupakan kejohanan paling berprestij bagi pemain hoki veteran dunia dan dianjurkan setiap dua tahun.
Edisi 2026 merupakan penganjuran kali kelapan sejak Hoki Masters Dunia ditubuhkan pada 2012 hasil penggabungan Persatuan Hoki Masters Antarabangsa (IMHA) dan Persatuan Grand Masters Dunia (WGMA), yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia dalam pelbagai kategori umur.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- JBMKKS Lancar Program Rintis Mediasas Akhir Julai, Peringkat Nasional Pada 2027
- RHB IB Unjur KDNK Malaysia Tumbuh 4.7 Peratus Pada 2026
- Sime Darby Property Beli Wisma UNIRAZAK Pada Harga RM160 Juta
- PRN Johor: Transformasi Ekonomi, Perumahan Felda, Agenda Utama Md Yusof Di Tenggaroh
- SUKMA Selangor 2026 Terima Suntikan Tajaan Hampir RM8 Juta