06/07/2026 07:16 PM

EU Berminat Perluas Kerjasama Strategik Dengan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 Julai (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) berminat untuk meluaskan kerjasama dengan Terengganu dalam sektor strategik termasuk ekonomi hijau, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), susulan perbincangan dengan kepimpinan negeri hari ini.

Duta Besar EU ke Malaysia Rafael Daerr berkata lawatan tiga hari ke negeri itu oleh duta dan wakil EU, bermula Ahad, bertujuan memperoleh pemahaman yang lebih baik mengenai agenda pembangunan Terengganu dan mengenal pasti bidang kerjasama baharu.

“Kami datang ke Terengganu untuk lebih memahami negeri (ini), di mana ia hari ini, ke mana ia mahu pergi dan di mana ada peluang untuk kami mengukuhkan kerjasama.

“Terengganu telah menunjukkan kepada kami bahawa kita boleh bekerjasama dengan lebih erat,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan anggota Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini.

Rombongan berkenaan sebelum itu menghadap Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah.

Daerr menyifatkan Malaysia sebagai satu daripada rakan dagangan utama EU, dengan kerjasama sedia ada merangkumi sektor seperti semikonduktor, elektronik dan peralatan perindustrian, sambil menonjolkan bahan mentah kritikal sebagai satu lagi bidang yang berpotensi kukuh untuk kerjasama.

Beliau berkata Terengganu menawarkan peluang besar untuk pelaburan Eropah, dengan menyatakan beberapa syarikat Eropah sudah beroperasi di negeri itu, manakala lebih 2,000 syarikat Eropah beroperasi di seluruh Malaysia.

Selain industri petrokimia di negeri ini, Daerr berkata EU melihat potensi kukuh untuk kerjasama dalam ekonomi hijau dan pendigitalan, sambil menambah bahawa syarikat Eropah membawa bukan sahaja pelaburan tetapi juga teknologi dan kepakaran, khususnya dalam teknologi hijau, kecekapan tenaga, pengurusan air dan pengurusan sumber mampan.

"Apabila syarikat Eropah melabur di Malaysia, mereka menjadi sebahagian daripada fabrik sosioekonomi negeri.

Kejayaan bermakna mewujudkan perkongsian di mana kedua-dua pihak mendapat manfaat," katanya memetik pengeluar semikonduktor Jerman Infineon, yang menggaji kira-kira 14,000 orang di Malaysia, dengan 99 peratus daripadanya ialah warga tempatan.

Sementara itu, Daerr berkata kerjasama dengan Terengganu dalam AI, TVET, pendidikan tinggi dan penyelidikan adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh ekonomi jangka panjang dan hubungan rakyat dengan rakyat.

Beliau berkata Eropah mempunyai ekosistem AI yang pelbagai terdiri daripada banyak syarikat inovatif yang mengkhususkan dalam pelbagai bidang, dengan beberapa telah pun beroperasi di Malaysia.

Beliau menambah EU menyokong pendekatan berpaksikan manusia kepada AI termasuk melindungi hak peribadi, melindungi data peribadi dan memastikan teknologi digunakan secara bertanggungjawab.

Mengenai TVET, Daerr berkata beberapa negara Eropah telah mewujudkan sistem pendidikan vokasional yang kukuh yang menggabungkan pengalaman tempat kerja praktikal dengan pendidikan formal, menyediakan model untuk kerjasama yang lebih erat dengan Terengganu.

Beliau berkata pelaburan berterusan dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran adalah penting kerana AI terus berkembang pesat, sambil menambah bahawa pembelajaran sepanjang hayat akan menyiapkan golongan muda dengan lebih baik untuk pekerjaan masa depan.

Daerr turut menekankan pendidikan dan pertukaran rakyat dengan rakyat sebagai tonggak utama hubungan EU-Malaysia, memetik program seperti Erasmus+ dan Erasmus Mundus, yang menggalakkan mobiliti pelajar, kerjasama akademik dan penyelidikan bersama.

Beliau berkata pada masa ini terdapat sekurang-kurangnya dua projek penyelidikan melibatkan institusi pengajian tinggi di Terengganu iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama universiti rakan kongsi di Eropah khususnya dalam bidang akuakultur dan biodiversiti.

-- BERNAMA