06/07/2026 06:30 PM

Azeem Sasar Podium Di Kejohanan Asia B-23

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi menyasarkan kedudukan podium pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun (B-23) di Ordos, China yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 12 Julai ini.

Azeem berkata sasaran itu mencerminkan perubahan mentalitinya yang kini tidak lagi menganggap penyertaan di pentas antarabangsa sekadar untuk menimba pengalaman, sebaliknya mahu bersaing bagi meraih kemenangan dan membawa pulang pingat pada setiap kejohanan yang disertainya.

"Sudah cukup dengan pengalaman dan pengajaran yang saya peroleh sebelum ini. Kini, sasaran saya adalah untuk memenangi perlumbaan, berada di podium dan meraih sebanyak mungkin pingat setiap kali turun ke balapan," katanya kepada pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Atlet berusia 22 tahun itu yang baru pulang selepas hampir empat tahun melanjutkan pengajian serta menjalani latihan di Amerika Syarikat berkata segala pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang berada di negara itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuh skuad olahraga negara.

Pada edisi sulung Kejohanan Olahraga Asia B-23 di China itu, beliau akan beraksi dalam acara 100 meter (m), 200m serta membantu kuartet negara dalam acara 4x100m.

"Saya dan jurulatih membuat keputusan untuk beraksi dalam kedua-dua acara, 100m dan 200m, selain membantu pasukan dalam acara 4x100m. Sudah agak lama saya tidak menyertai kedua-dua acara individu itu dalam satu kejohanan, namun kami sudah bersedia.

"Bagi Kejohanan Asia B-23 ini, kami mahu mencatat rekod terbaik musim, khususnya dalam acara 200m. Kami tidak mahu tergesa-gesa kerana sasaran utama kami ialah Sukan Asia," katanya.

Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, akan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.

Azeem berkata kejohanan itu dijangka menghimpunkan barisan pelari terbaik Asia bawah 23 tahun, sekali gus menjadi medan terbaik untuk mengukur tahap kemampuannya menjelang Sukan Asia.

Selain Azeem, atlet lain yang disenaraikan bagi acara 4x100m ialah Reeve Kua Man Hong, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Mohammad Armin Zahry Abdul Latif.

Sementara itu, beliau menyambut baik pelantikan jurulatih pecut baharu negara dari Afrika Selatan, Thabo Matebedi, yang menurutnya mengamalkan program latihan hampir sama dengan jurulatih peribadinya ketika ini, Ken Harnden.

Azeem berkata berdasarkan maklumat yang diterimanya, Matebedi merupakan jurulatih bertaraf dunia yang pernah membimbing beberapa atlet yang dikenalinya ketika menjalani latihan di Amerika Syarikat.

-- BERNAMA