Fadhlina Lawat Sekolah Di Banting Susulan Kes Pelajar Ditikam
SHAH ALAM, 6 Julai (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini melawat sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat, susulan kejadian seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dipercayai ditikam oleh seorang lagi pelajar perempuan, pagi tadi.
Beliau yang tiba di sekolah berkenaan pada 1.20 tengah hari, mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan sekolah bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
Fadhlina berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil semua langkah keselamatan termasuk menahan suspek bagi membantu siasatan dan tumpuan kini adalah memastikan mangsa diberikan rawatan perubatan sewajarnya, selain memastikan sistem sokongan psikososial kepada warga sekolah.
“Semoga Tuan Pengetua, guru yang kami kasihi dan anak-anak pelajar semuanya diberikan kesabaran dan kekuatan menghadapi ujian ini dan saya mohon orang ramai tidak menyebarkan berita palsu atau merekayasa fitnah memandangkan kes ini sedang disiasat oleh pasukan PDRM,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam mengendalikan insiden itu dan akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut dari semasa ke semasa dengan kebenaran pihak berkuasa.
Sementara itu, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, V. Paparaidu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri kerana memberikan sokongan psikososial serta kaunseling segera kepada mangsa, keluarga dan pelajar yang terkesan dengan kejadian ini.
“Dalam masa yang sama, saya menegaskan agar aspek keselamatan anak-anak di sekolah perlu diperketatkan. Pengawal keselamatan perlu sentiasa peka dan memantau setiap individu yang keluar masuk ke kawasan sekolah, terutama pada waktu ketibaan dan kepulangan pelajar.
“Kawalan di pintu masuk juga perlu diperkukuh bagi mengelakkan individu yang tidak sepatutnya memasuki kawasan sekolah. Keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita mesti sentiasa menjadi keutamaan. Sekolah seharusnya menjadi kawasan yang selamat, tempat anak-anak kita menimba ilmu tanpa rasa takut atau terancam,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.50 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan terdapat seorang pelajar perempuan cedera dalam kawasan sekolah.
Hasil siasatan mendapati pelajar perempuan tersebut telah ditikam menggunakan sebilah pisau oleh seorang pelajar perempuan lain dan mangsa kini sedang dirawat di Hospital Banting serta berada dalam keadaan stabil, sementara suspek berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Penerapan Nilai Kenegaraan Perlu Diperkukuh Demi Pembinaan Negara Bangsa - Anwar
- PGA Tahan 10 Warga Asing, Tumpaskan Kegiatan Seludup Migran
- Syarikat Perancis Carester Bina Loji Nadir Bumi Di Perak Hasil Usaha Sama Selama 10 Tahun
- Kenderaan BMW Diguna PM Aset Sedia Ada Kerajaan - JPM
- Teknologi Digital, AI Perlu Dimanfaatkan Untuk Pelestarian Seni Kaligrafi - Aaron