06/07/2026 04:24 PM

Penyertaan Bumiputera Dalam Sektor Berdaya Maju Perlu Diperkukuh - DOSM

PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) -- Penguasaan ekonomi bumiputera terus menunjukkan peningkatan namun masih terdapat ruang pengukuhan penyertaan golongan itu dalam sektor berdaya maju bagi mengurangkan jurang sosioekonomi, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata berdasarkan data menerusi Papan Pemuka Analitik Data Bumiputera yang dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), gaji pekerja bumiputera dan bukan bumiputera secara umumnya mencatat peningkatan melebihi lima peratus.

Mohd Uzir bagaimanapun berkata pertumbuhan itu dipengaruhi oleh komposisi populasi dengan peningkatan purata gaji bumiputera dilihat lebih sederhana kerana melibatkan bilangan penduduk yang lebih besar berbanding bukan bumiputera.

"Populasi golongan bumiputera besar, jadi ada beberapa segmen mencatatkan momentum lebih tinggi, namun secara puratanya ia akan menyederhanakan pencapaian disebabkan faktor saiz populasi itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Papan Pemuka Analitik Data Bumiputera pada program wacana khas Simfoni Data dan Media di sini hari ini.

Papan Pemuka Analitik Data Bumiputera dibangunkan sebagai satu platform strategik untuk memantau serta menilai prestasi semasa dan pencapaian agenda pemerkasaan bumiputera berpandukan indikator utama dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Sementara itu, Mohd Uzir turut memperkenalkan Portal Indikator SubNasional Malaysia, sebuah platform interaktif yang menghimpunkan data rasmi negara bagi memudahkan analisis dan pemantauan di pelbagai peringkat pentadbiran.

Beliau berkata platform itu menyatukan data bagi 1,998 kawasan pentadbiran meliputi 16 negeri dan wilayah, 160 daerah, 222 kawasan Parlimen dan kira-kira 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membolehkan pengguna membuat perbandingan serta analisis berdasarkan lokasi secara lebih pantas.

Portal itu mengandungi 22 set data rasmi merentas lapan domain termasuk demografi, ekonomi, pendidikan, buruh, pertanian, alam sekitar, jenayah dan elektoral, selain dikemas kini secara berkala berserta metadata bagi memastikan ketelusan serta keseragaman definisi data.

“Matlamat kita ialah mewujudkan satu sumber data rasmi yang dipercayai bagi menyokong keputusan berasaskan bukti, selain membantu kerajaan dan pihak berkepentingan merancang dasar serta program pembangunan dengan lebih berkesan,” katanya.

-- BERNAMA