Jejambat Persimpangan Selangau-Mukah Dibuka Berfasa Selepas Selamat - Nanta
SIBU, 6 Julai (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi jaminan kerja pembaikan di Ramp 1, Jejambat Persimpangan Selangau-Mukah di Lebuhraya Pan Borneo akan dilaksanakan mengikut prosedur keselamatan ketat sebelum laluan itu dibuka semula kepada pengguna.
Beliau berkata penutupan laluan itu dilakukan demi keselamatan pengguna jalan raya susulan kerosakan struktur Ramp 1 akibat dilanggar sebuah lori tangki minyak sawit.
Menurut Nanta, berdasarkan taklimat teknikal di tapak, kemalangan itu menyebabkan sebahagian panel tembok penahan mengalami kerosakan.
“Kerja-kerja pembaikan struktur akan dilaksanakan secara terkawal bagi memastikan kestabilan kawasan terjejas. Laluan yang tidak terjejas akan dibuka secara berfasa selepas disahkan selamat manakala laluan masih berisiko akan kekal ditutup sehingga kerja pembaikan selesai,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau lokasi berkenaan hari ini.
Nanta berkata beliau memahami kegusaran orang ramai berhubung penutupan laluan itu dan menegaskan setiap teguran rakyat, termasuk disuarakan menerusi media dan media sosial perlu diberi perhatian serius, terutama apabila melibatkan aspek keselamatan pengguna Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau berkata tiga perkara telah diarahkan untuk diberi keutamaan, iaitu memastikan keselamatan pengguna jalan raya tidak dikompromi, memantau jadual kerja pembaikan supaya tidak berlaku kelewatan tidak munasabah serta menyalurkan maklumat jelas kepada orang ramai mengenai laluan alternatif, status penutupan dan perkembangan kerja di tapak.
Nanta turut mengakui penutupan laluan itu memberi kesulitan kepada pengguna, khususnya penduduk serta mereka yang kerap menggunakan laluan Bintulu-Mukah-Sibu, namun menegaskan keselamatan tetap menjadi keutamaan sebelum laluan itu dibuka semula.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Fahmi Ucap Tahniah Kepada Adelia-Adania Rangkul Gelaran Juara Boling Remaja Dunia
- Jangan Tular Kes Lama Isu Azan Di Sungai Buloh - Polis
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Menjejaki Keuntungan Dalam Soya Dan Olein
- Indonesia Sasar US$5.8 Bilion Dalam Pelaburan Hijau Menerusi Pasaran Karbon
- Penjagaan Mata Sepanjang Hayat: Mengenali Masalah Penglihatan Pada Semua peringkat Usia