06/07/2026 03:45 PM

JKPK Syor Gubal Akta Baharu, Reformasi Sistem Transplan Organ Negara

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Kesihatan mengesyorkan kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh sistem pendermaan dan transplan organ negara, termasuk menggubal akta baharu bagi menggantikan Akta Tisu Manusia 1974, selain memperkukuh peranan Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC).

Pengerusi JKPK Suhaizan Kaiat ketika pembentangkan Penyata Jawatankuasa berhubung Reformasi Sistem Pendermaan dan Transplan Organ Nasional di Dewan Rakyat hari ini berkata cadangan itu dikemukakan susulan penelitian menyeluruh terhadap isu tadbir urus, pelaksanaan, pembangunan kepakaran, pembiayaan, infrastruktur dan tahap kesedaran masyarakat mengenai pendermaan organ.

Menurut beliau, penambahbaikan secara berasingan tidak lagi mencukupi, sebaliknya negara memerlukan pendekatan reformasi menyeluruh bagi memastikan sistem pendermaan dan transplan organ mampu memenuhi keperluan semasa serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Antara syor utama ialah penggubalan akta baharu bagi menggantikan Akta Tisu Manusia 1974 yang antara lain mengiktiraf kematian otak dan pendermaan selepas kematian peredaran darah (Donation after Circulatory Death), memperkenalkan konsep pemilikan organ nasional serta memperkukuh kawal selia aktiviti transplan di luar negara.

“NTRC perlu diperkukuh sebagai penyelaras utama dasar, standard klinikal, latihan dan pengurusan data pendermaan serta transplan organ di peringkat nasional, termasuk mewujudkan sistem pemantauan data dan pengagihan organ secara masa nyata bagi menjamin ketelusan dan audit berterusan,” katanya.

Selain itu, Suhaizan berkata JPKP turut mencadangkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan untuk mewujudkan dana khas program pendermaan organ bagi membantu pesakit berpendapatan rendah menampung kos ubat imunosupresif jangka panjang, rawatan susulan serta kos pembedahan di hospital swasta sekiranya diperlukan.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia pula disaran meneliti pelaksanaan skim Takaful Sosial untuk Pengikrar Organ (Social Takaful for Organ Pledgers) sebagai insentif perlindungan sosial kepada penderma organ masih hidup atau keluarga penderma yang meninggal dunia.

“Turut dicadangkan ialah sistem pendaftaran pendermaan organ diperkukuh melalui integrasi dengan MySejahtera, lesen memandu dan kad pengenalan bagi memudahkan rakyat mendaftar secara automatik,” katanya.

Suhaizan berkata jawatankuasa itu turut mengesyorkan pembangunan modal insan dan laluan kerjaya pakar transplan diperkasakan, selain mengiktiraf program transplan sebagai bidang keutamaan nasional melalui penyediaan peruntukan tahunan secara tetap serta memperluas rangkaian pusat transplan ke seluruh negara.

Sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 3,657 prosedur transplan telah dilaksanakan di negara ini manakala sebanyak 10,170 pesakit masih menunggu transplan organ daripada penderma selepas kematian, katanya.

Menurut dapatan JPKP itu, lebih 1,100 peluang pendermaan organ tidak dapat direalisasikan berikutan ketiadaan persetujuan ahli keluarga, sekali gus menunjukkan masih terdapat keperluan meningkatkan kefahaman masyarakat serta keyakinan terhadap sistem pendermaan organ negara.

Pada masa sama, lebih 55,000 pesakit kini bergantung kepada rawatan dialisis dan jumlah itu dijangka meningkat kepada lebih 104,000 orang menjelang 2040, manakala kos rawatan dialisis mencecah hampir RM2 bilion setahun.

“Reformasi dicadangkan bukan sekadar bertujuan meningkatkan bilangan pendermaan organ atau jumlah prosedur transplan yang dilaksanakan setiap tahun, tetapi membina sebuah sistem lebih cekap dari segi tadbir urus, lebih teratur dari segi pelaksanaan, lebih diyakini masyarakat serta lebih berupaya memenuhi keperluan pesakit di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA