PRN Johor: Penerimaan Menggalakkan Beri Keyakinan Buat Danish Hossman Tawan Johor Lama
Oleh Muhammad Saufee Rosman
JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Calon termuda Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Danish Hossman Abd Rahman menyifatkan momentum positif serta penerimaan menggalakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama sebagai "suntikan semangat" untuk membawa perubahan dinamik di kawasan berkenaan.
Danish Hossman, 23, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) berkata gerak kerja turun padang secara konsisten membolehkan beliau menyelami denyut nadi pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus memperkukuh keyakinannya untuk memberikan saingan sengit pada PRN kali ini.
Penuntut Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu berkata golongan veteran, khususnya menerima baik kehadirannya dan melihat faktor usia muda sebagai satu kelebihan untuk membawa nafas baharu kepada kawasan itu.
“Apabila saya menyantuni golongan veteran dan pengundi yang lebih berusia, mereka suka seorang anak muda yang mereka lihat ikhlas dan bersemangat untuk turun ke padang, mendengar sendiri masalah yang berlaku, berjumpa secara bersemuka dengan pengundi.
“Saya boleh katakan juga golongan ini muak dengan pemimpin yang seusia atau lebih berusia daripada mereka, yang kita lihat sangat kurang turun ke padang setelah sekian lama dan masalah yang dihadapi rakyat juga tidak dapat diselesaikan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Danish Hossman berkata beliau tidak meletakkan usia sebagai ukuran kepimpinan, sebaliknya berhasrat untuk berperanan sebagai "jambatan strategik", yang menghubungkan pengalaman pemimpin terdahulu dengan aspirasi segar generasi baharu.
“Saya sebagai anak muda, tidak mengetepikan pengalaman daripada orang lama, dan saya anggap saya sebagai jambatan antara pengalaman orang lama dan aspirasi untuk generasi muda,” katanya.
Kini, pada minggu akhir kempen, beliau nekad melipatgandakan pertemuan dengan pengundi di bandar, kampung dan penempatan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), selain memberikan fokus kepada golongan belia, wanita serta komuniti peniaga kecil.
“Saya jumpa bukan hanya sekali, tetapi kita datang berkali-kali menyantuni mereka … Saya mahu rakyat menilai daripada kemampuan calon, bukan dari segi politik kebencian atau serangan peribadi,” katanya.
Mengulas agenda yang diperjuangkan, Danish Hossman mengenal pasti kekurangan rumah mampu milik dan peluang pekerjaan sebagai kebimbangan utama penduduk, yang mengakibatkan penghijrahan keluar golongan muda.
Sehubungan dengan itu, beliau berhasrat untuk membawa lebih banyak pelaburan dan membangunkan industri hiliran yang bersesuaian dengan potensi Johor Lama, termasuk mengusahakan tanaman serta aktiviti penternakan di kawasan benteng bagi merancakkan ekonomi setempat.
“Kita mahu memperjuangkan lebih banyak pelaburan dan pembangunan industri yang bersesuaian dengan potensi kawasan ini agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
“Matlamat saya, saya mahu anak muda di DUN Johor Lama mempunyai pilihan untuk membina kerjaya, membina keluarga dan membina masa depan di tanah kelahiran mereka sendiri,” katanya.
Kerusi DUN Johor Lama menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Danish Hossman menentang penyandang, Norlizah Noh daripada Barisan Nasional (BN) serta Aisah Esa yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini, manakala pengundian awal diadakan esok.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N37: JOHOR LAMA: 32,716 pengundi
1. Aisah Esa (PN-Bersatu)
2. Danish Hossman Abd Rahman (PH-PKR)
3. Norlizah Noh (BN-UMNO)
(2022: Norlizah Noh: BN-UMNO: Maj: 6,039)
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Transformasi Ekonomi, Perumahan Felda, Agenda Utama Md Yusof Di Tenggaroh
- SUKMA Selangor 2026 Terima Suntikan Tajaan Hampir RM8 Juta
- PRN Johor: Yeo Yakin Rekod Dua Penggal Mampu Rampas Semula DUN Pekan Nanas
- Pusat Rehabilitasi Dan Gimnasium Komuniti MADANI Perkenal Pelbagai Teknologi, Inovasi - UTeM
- Hoe Yean Letak Sukan Asia Sebagai Keutamaan, Glasgow Jadi Medan Persiapan