17 Pelajar Malaysia Rangkul 22 Pingat Di Koala Excellence Olympiad 2026
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Sebanyak 17 pelajar Malaysia mengharumkan nama negara apabila merangkul sembilan anugerah keseluruhan dan membawa pulang 22 pingat dalam pertandingan Koala Excellence Olympiad (KEO) 2026 Peringkat Antarabangsa di Macau, yang berakhir semalam.
Penyelaras Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO), yang juga ketua kontinjen Malaysia ke Macau, Aidah Misran berkata secara keseluruhan, kontinjen Malaysia membawa pulang lima pingat emas, enam perak dan 11 gangsa.
“Pertandingan anjuran KEO dan Miss Man International Group serta diselaraskan di Malaysia oleh MYSO menghimpunkan pelajar dari pelbagai negara dalam Olympiad Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Seni.
“Kontinjen Malaysia terdiri daripada empat pelajar Kolej PERMATA@Pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz, dua pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, tiga pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Convent (2) Bukit Nanas, serta masing-masing seorang pelajar SMK Convent Teluk Intan, SK USJ 12, SK Seri Hartamas dan SK Convent Sentul 1,” katanya.
Peserta Malaysia yang paling cemerlang dalam pertandingan itu ialah pelajar tahun enam SK Seri Hartamas, Mukridz Mardzuki apabila berjaya muncul juara keseluruhan Olympiad Sains bagi kategori sekolah rendah.
Sementara itu, Sarah Isabel Maryam Ahmad Suhael daripada SK Convent (2) Bukit Nanas dan pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, iaitu Alfie Rizq Danial Azlan masing-masing muncul naib juara keseluruhan Olympiad Sains bagi kategori sekolah rendah dan menengah.
Turut muncul naib juara keseluruhan ialah Ayra ‘Adani Muhammad ‘Aizat daripada Kolej PERMATA@Pintar Negara UKM bagi Olympiad Bahasa Inggeris.
Lima anugerah tempat ketiga keseluruhan diraih oleh Marvyn Zef Mark Philip yang menang dua kategori, iaitu Sains dan Bahasa Inggeris, P. Prem (Sains), Muhammad Khairul Mauidz Khairul Azman (Matematik) dan AK Shashini (Bahasa Inggeris).
KEO ialah platform pertandingan antarabangsa yang dibangunkan oleh pakar pendidikan Australia merangkumi empat disiplin, iaitu bahasa Inggeris yang menguji bacaan, ejaan dan penulisan peserta, matematik (penaakulan logik), sains (pemerhatian, reka bentuk eksperimen dan tafsiran data) serta seni (karya seni dan pernyataan artis).
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Mahkamah Tetapkan 12 Okt Pendengaran Injunksi Inter-parte MCMC Terhadap Papagomo
- Fadhlina Lawat Sekolah Di Banting Susulan Kes Pelajar Ditikam
- PRN Johor: Penerimaan Menggalakkan Beri Keyakinan Buat Danish Hossman Tawan Johor Lama
- Penyertaan Bumiputera Dalam Sektor Berdaya Maju Perlu Diperkukuh - DOSM
- Dewan Rakyat Lulus RUU Persaingan (Pindaan) 2026