Pendigitalan Kewangan Perkukuh Agenda Keselamatan Makanan Malaysia
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Pengurusan kewangan digital boleh menjadi penggerak penting agenda keselamatan makanan Malaysia dengan memperkukuh daya tahan kewangan pesawah padi, menyokong peningkatan produktiviti dan memastikan pengeluaran beras domestik yang lebih mampan.
Profesor Madya Dr Hasri Mustafa dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata walaupun usaha untuk memodenkan sektor padi Malaysia secara tradisinya tertumpu pada benih yang lebih baik, penggunaan baja, mekanisasi dan pengairan, pengurusan kewangan juga harus diiktiraf sebagai tonggak utama pembangunan industri.
“Sektor beras merupakan tonggak keselamatan makanan Malaysia. Bagaimanapun, walaupun input pengeluaran seperti benih, baja dan mekanisasi menangani aspek penawaran pertanian, ia tidak menyelesaikan kelemahan kewangan asas dihadapi oleh petani,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Beliau berkata pesawah padi terus menghadapi kekangan aliran tunai secara bermusim kerana mereka biasanya memperoleh pendapatan hanya dua kali setahun selepas musim menuai, menjadikan perancangan kewangan berkesan semakin penting untuk mengekalkan aktiviti pertanian sepanjang kitaran pengeluaran.
Menurut Hasri, pendigitalan kewangan membolehkan petani beralih daripada pengurusan kewangan tidak formal dan reaktif kepada proses membuat keputusan proaktif dan berasaskan data dengan memberikan keterlihatan lebih besar terhadap kos pengeluaran, aliran tunai dan perbelanjaan.
“Ia bukan sekadar alat sokongan tetapi tonggak asas membolehkan petani mengurus turun naik, merancang dengan berkesan dan melindungi mata pencarian mereka,” katanya.
Ketahanan kewangan memacu keselamatan makanan
Hasri berkata pengurusan kewangan lebih kukuh juga melengkapi agenda keselamatan makanan kerajaan lebih luas di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) 2026-2030 dan Dasar Keselamatan Makanan Negara (DKNM) 2030 bertujuan untuk memperkukuh pengeluaran beras domestik dan meningkatkan daya saing sektor berkenaan.
Beliau berkata, RMK-13 menyasarkan sumbangan nilai tambah sebanyak RM2.5 bilion daripada subsektor padi melalui inisiatif seperti peningkatan kekerapan penanaman kepada lima musim dalam tempoh dua tahun, penggunaan teknologi termaju yang lebih meluas termasuk penambahbaikan sistem pengairan dan saliran.
"Aplikasi kewangan digital adalah lanjutan semula jadi daripada agenda pemodenan ini. Yang mana, ia memastikan petani mempunyai keterlihatan kewangan untuk melabur dalam langkah pengembangan produktiviti, pendigitalan kewangan membolehkan pelaksanaan strategi nasional ini dengan berkesan," katanya.
Hasri berkata pengurusan kewangan yang lebih kukuh juga boleh menyumbang kepada produktiviti yang dan daya tahan yang lebih tinggi, memandangkan petani yang dapat memantau kos pengeluaran dengan tepat, berada pada kedudukan yang lebih baik bagi membuat pelaburan semula dalam penambahbaikan benih hasil tinggi, mekanisasi dan pengairan sambil menguruskan turun naik harga serta gangguan berkaitan iklim.
Pendigitalan meningkatkan daya saing ladang
Berdasarkan pemerhatian dan kerja lapangan yang dijalankan pasukan penyelidik, beliau berkata lebih 90 peratus pesawah Malaysia tidak mengekalkan rekod kewangan dengan sistematik, sebaliknya bergantung kepada kaedah tidak formal, nota mental atau rekod kertas yang tidak lengkap.
"Ketiadaan dokumentasi kewangan berstruktur ini menyebabkan mereka tidak dapat menjejaki kos pengeluaran, pendapatan atau perbelanjaan dengan tepat, seterusnya mengehadkan keupayaan mereka untuk mengoptimumkan penggunaan subsidi dan mengakses pembiayaan formal," katanya.
Alat kewangan digital akan membolehkan petani menyimpan rekod aliran tunai yang sistematik, mengekalkan dokumentasi pendapatan dan perbelanjaan berstruktur selain menyediakan penyata kewangan ringkas disesuaikan dengan operasi penanaman padi, sekali gus meningkatkan pengurusan kewangan mereka.
Beliau berkata rekod sedemikian juga dapat menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti dengan memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada penggubal dasar mengenai kos pengeluaran sebenar, sekali gus membolehkan kerajaan menilai dengan lebih baik sama ada program subsidi sedia ada mencerminkan realiti pengeluaran petani secara tepat.
Bagi Semenanjung Malaysia, peruntukan kerajaan untuk program subsidi padi pada 2024 dianggarkan berjumlah RM2.12 bilion, manakala jumlah peruntukan keseluruhan termasuk Sabah dan Sarawak dianggarkan sebanyak RM2.18 bilion.
Hasri berkata rekod kewangan yang lebih lengkap dan tersusun akan membolehkan petani mengoptimumkan penggunaan baja, benih dan input pertanian lain dengan menjejak penggunaan serta perbelanjaan sebenar, sekali gus meningkatkan kecekapan peruntukan sumber dan mengurangkan kos yang tidak perlu.
Bagi membantu menangani kekurangan sistem rekod kewangan dalam kalangan petani padi, UPM telah membangunkan iPADI, sebuah platform pengurusan kewangan digital yang direka khusus untuk membantu petani merekod pendapatan dan perbelanjaan, memantau kos pengeluaran serta menambah baik perancangan aliran tunai.
Platform berkenaan kini sedang menjalani Ujian Penerimaan Pengguna (UAT) yang melibatkan 225 pesawah dari enam buah kampung di Tanjung Karang, Selangor, di bawah geran bernilai RM70,000 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).
Hasri berkata pemerhatian awal menunjukkan pesawah yang mengambil bahagian mula mengamalkan penyimpanan rekod kewangan yang lebih berstruktur, sekali gus menambah baik amalan belanjawan dan memperoleh kejelasan yang lebih baik mengenai kos pengeluaran serta aliran tunai.
Bagaimanapun, beliau berkata projek itu masih berada di peringkat UAT dan para penyelidik belum mengumpul data yang mencukupi untuk menentukan secara konklusif penambahbaikan yang boleh diukur dalam kawalan kos, perancangan kewangan atau kecekapan subsidi.
“Pemerhatian ini masih awal dan memerlukan pengesahan lanjut merentasi pelbagai kitaran penanaman dan lokasi sebelum kesimpulan yang signifikan dari segi statistik dapat dibuat,” kata beliau.
Pada masa hadapan, Hasri berkata dianggarkan 150,000 hingga 180,000 pesawah atau kira-kira 65 hingga 80 peratus daripada komuniti pesawah padi di Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada alat pengurusan kewangan digital itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Namun, perkara ini bergantung kepada sokongan berterusan daripada pihak kerajaan, peningkatan literasi digital yang lebih kukuh, penggunaan telefon pintar yang lebih meluas serta kerjasama yang lebih erat antara institusi kewangan dan agensi pertanian, katanya.
Langkah itu juga akan membolehkan lebih ramai pesawah mengakses pembiayaan rasmi, berunding dengan pembeli mengenai harga yang lebih adil, melabur dalam teknologi yang meningkatkan produktiviti, serta menyumbang ke arah pengeluaran beras domestik lebih stabil.
“Petani yang celik kewangan dan diperkasakan secara digital akan berada pada kedudukan lebih baik untuk memperkukuh daya tahan serta daya saing sektor padi dan beras Malaysia, di samping menyokong agenda keterjaminan makanan jangka panjang negara,” katanya lagi.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- 15 Pusat Pemindahan Kekal Bencana Beroperasi Secara Berperingkat Bermula Tahun Ini
- Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur Susulan Kenaikan Niaga Hadapan Serantau
- Maybank IBG Semak Naik Unjuran Pertumbuhan KDNK 2026 Kepada 4.9 Peratus
- Anwar Gesa FELDA Segera Selesai Isu Perumahan Generasi Kedua, Pemilikan Tanah
- Gempa Bumi Sederhana Landa Mindanao, Filipina