MyAgriStats 2024: Kelapa, Nanas Dan Durian Terajui Aktiviti Pertanian Tiga Daerah Di Semenanjung
PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) -- Tanaman kelapa di Sabak Bernam, nanas di Kluang dan durian di Bandar Baharu dikenal pasti sebagai antara penggerak utama ekonomi pertanian di daerah masing-masing berdasarkan penerbitan MyAgriStats 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penerbitan yang meliputi Sabak Bernam di Selangor, Kluang di Johor dan Bandar Baharu di Kedah itu merupakan fasa pertama penyediaan statistik pertanian di peringkat daerah, yang akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.
"Statistik yang dibentangkan dalam penerbitan ini adalah hasil penyusunan data sekunder daripada sumber pentadbiran agensi teknikal berkaitan sektor pertanian, iaitu Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perhutanan.
"Data ini disusun semula, disemak dan diintegrasikan dengan penerbitan DOSM yang lain bagi memastikan laporan yang bersepadu di peringkat daerah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Memperincikan laporan itu, beliau berkata, tanaman kelapa di Sabak Bernam mendominasi aktiviti pertanian dengan keluasan bertanam 7,000 hektar, menghasilkan 105,000 tan metrik bernilai RM169.1 juta, diikuti cili merah bernilai RM9.4 juta dan pisang bernilai RM8.2 juta.
Bagi sektor akuakultur di Sabak Bernam, tilapia merah merekodkan pengeluaran tertinggi sebanyak 2,050.5 tan metrik bernilai RM19.5 juta, diikuti udang harimau bernilai RM28.9 juta dan udang putih bernilai RM2.1 juta.
Di Kluang pula, beliau berkata nanas muncul sebagai penyumbang terbesar dengan nilai pengeluaran RM363.4 juta melibatkan pengeluaran sebanyak 149,600 tan metrik, diikuti durian bernilai RM98 juta dan sawi bernilai RM27.4 juta.
"Aktiviti akuakultur di daerah itu pula diterajui penternakan ikan hiasan Malaysian Golden Arowana dengan nilai pengeluaran RM4.3 juta," katanya.
Sementara itu, di Bandar Baharu, Mohd Uzir berkata durian menjadi tanaman utama dengan nilai pengeluaran RM131.8 juta, diikuti nanas bernilai RM3.3 juta dan manggis bernilai RM1.9 juta.
"Sektor akuakultur daerah ini memberi tumpuan kepada penternakan ikan keli yang mencatatkan pengeluaran sebanyak 1,400 tan metrik bernilai RM8.3 juta," katanya.
Beliau berkata dari segi sumbangan ekonomi, sektor pertanian terus memainkan peranan penting kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar daerah terpilih dengan Kluang merekodkan sumbangan tertinggi sebanyak RM3.575 bilion pada 2020 pada harga malar, diikuti Sabak Bernam sebanyak RM918 juta dan Bandar Baharu sebanyak RM272 juta.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- 15 Pusat Pemindahan Kekal Bencana Beroperasi Secara Berperingkat Bermula Tahun Ini
- Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur Susulan Kenaikan Niaga Hadapan Serantau
- Maybank IBG Semak Naik Unjuran Pertumbuhan KDNK 2026 Kepada 4.9 Peratus
- Anwar Gesa FELDA Segera Selesai Isu Perumahan Generasi Kedua, Pemilikan Tanah
- Gempa Bumi Sederhana Landa Mindanao, Filipina