06/07/2026 02:56 PM

Polis Tahan Tiga Lelaki, Tumpaskan Geng Samun Di Manjung

IPOH, 6 Julai (Bernama) -- Polis menumpaskan satu kumpulan samun yang menyamar sebagai anggota polis dengan penahanan tiga lelaki dalam tempoh beberapa jam selepas mereka menyamun seorang warga Bangladesh di daerah Manjung, Khamis lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata mangsa berusia 45 tahun membuat laporan polis pada 8.06 malam, mendakwa disamun oleh dua lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dalam kejadian di Pantai Remis pada kira-kira 4.30 petang hari yang sama.

Beliau berkata dalam kejadian itu, mangsa dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail dalam keadaan tangan bergari sebelum suspek merampas beg miliknya dan melarikan wang tunai berjumlah RM8,000.

“Suspek mengugut mangsa kononnya akan membawanya ke Balai Polis Pantai Remis untuk pemeriksaan lanjut, namun mangsa mula mengesyaki dirinya disamun apabila suspek tidak menuju ke balai polis berkenaan, sebaliknya menghala ke jalan lain.

“Mangsa kemudian bertindak memulas stereng kenderaan sehingga terbabas ke bahu jalan di Batu 12, Segari dekat Lumut sebelum kedua-dua suspek melarikan diri dengan membawa wang tunai milik mangsa selepas menahan sebuah motosikal yang melalui kawasan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Mohd Alwi berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dengan kerjasama Balai Polis Pantai Remis dan Balai Polis Segari berjaya menahan tiga lelaki di Jalan Besar Gunung Tunggal, Changkat Keruing pada kira-kira 8.30 malam hari yang sama.

"Polis turut merampas sebuah Nissan X-Trail, beberapa telefon bimbit, kad ATM, wang tunai, gari, kad kuasa Polis Bantuan serta pelbagai barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, curi, curi kenderaan, mencederakan, ugutan serta kesalahan berkaitan dadah dan siasatan awal juga mendapati dua daripada suspek mengaku terbabit dalam kejadian samun itu,” katanya.

Mohd Alwi berkata ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula dari 3 hingga 9 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan menyamar sebagai penjawat awam.

Polis juga tidak menolak kemungkinan kumpulan itu turut terlibat dalam beberapa lagi kes samun menggunakan modus operandi sama di daerah lain di Perak.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Munawarrah Ahmad menerusi talian 011-16240391 atau Bilik Gerakan IPD Manjung 05-6899222 bagi membantu siasatan," katanya.

-- BERNAMA