06/07/2026 02:31 PM

Malaysia Runding Dengan Thailand, GACC Eksport Durian Ke China Melalui Jalan Darat

JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Malaysia sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan Thailand dan General Administration of Customs of China (GACC), bagi membuka laluan eksport durian tempatan ke China melalui jalan darat, yang dijangka dapat mengurangkan kos logistik dan memperluas pasaran ke republik itu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha itu merupakan antara ikhtiar kerajaan membantu pengusaha durian, terutamanya ketika negara berdepan lambakan bekalan susulan musim raja buah itu yang berlaku serentak di beberapa negeri.

“Menteri Pertanian mereka (Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand Suriya Juangroongruangkit) sudah jumpa saya dan kita akan bincang bagaimana hendak memudahkan eksport ke China melalui jalan darat dan jalan kereta api.

“Sekarang kita sedang berbincang secara intensif dengan Thailand dan GACC,” katanya kepada Bernama selepas menyantuni penduduk di Masai Lama bersama-sama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas Sharon Teo Siew Hui, di sini hari ini.

Beliau berkata penggunaan laluan darat dijangka menjadi pilihan yang lebih menjimatkan, berbanding kaedah penghantaran sedia ada menerusi pengangkutan udara yang ketika ini menelan kos tinggi kepada pengusaha.

Mohamad berkata usaha itu, turut membuka peluang menembusi bandar-bandar kecil di China yang mempunyai potensi pasaran besar, dengan setiap bandar dianggarkan mempunyai kira-kira dua juta penduduk.

Beliau berkata musim durian yag berlaku serentak di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Pahang menyebabkan bekalan meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada harga pada peringkat pengusaha, meskipun pengguna kini menikmati durian premium seperti Musang King dan Black Thorn pada harga lebih rendah.

Mengulas perkembangan sektor pertanian Johor, Mohamad berkata negeri itu kekal sebagai antara pengeluar utama hasil pertanian negara termasuk nanas, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Beliau berkata kempen pembangunan industri nanas yang dilaksanakan kementerian, berjaya meningkatkan pengeluaran sebanyak 100 peratus dalam tempoh tiga tahun, selain menarik penyertaan ramai golongan muda yang kini memperoleh pendapatan lebih baik menerusi perusahaan itu.

Mengenai aspek sekuriti makanan, Mohamad berkata Malaysia masih perlu meningkatkan tahap sara diri bagi beberapa komoditi utama, termasuk beras, daging dan jagung bijirin untuk makanan ternakan.

Beliau berkata pengalaman lawatannya ke Iran baru-baru ini memperlihatkan kepentingan sekuriti makanan apabila negara itu mampu memenuhi kira-kira 85 peratus keperluan makanannya sendiri manakala hanya 15 peratus untuk import.

“Kita masih belum mencukupi dari segi pengeluaran beras, manakala bekalan daging juga masih bergantung kepada import. Bagi jagung bijirin untuk makanan ternakan pula, kita masih mengimport hampir 100 peratus.

“Kita sedang melaksanakan usaha secara intensif supaya menjelang 2030 sekurang-kurangnya 30 peratus keperluan jagung negara dapat dihasilkan sendiri,” katanya.

-- BERNAMA