05/07/2026 06:54 PM

Lebih 3,000 Delegasi Dijangka Hadir Konvensyen Khas PBB Zon Tengah 26 Julai Ini

SIBU, 5 Julai (Bernama) -- Lebih 3,000 delegasi dari 24 cawangan dijangka menghadiri Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) zon tengah Sarawak 2026 di Stadium Tertutup Sibu pada 26 Julai ini.

Setiausaha Agung PBB Sarawak Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata zon tengah ialah yang pertama menganjurkan konvensyen khas itu tahun ini, mendahului zon selatan, zon Betong dan zon utara.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa penganjur diadakan hari ini bagi menyelaras persiapan dan memastikan kelancaran penganjuran konvensyen berkenaan.

"Antara pengisian ialah pembentangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963... turut dijadualkan ialah pembentangan mengenai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 dan beberapa isu lain termasuk aspek politik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur konvensyen itu di sini hari ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap Presiden Parti PBB dijadual merasmikan konvensyen khas itu dan menyampaikan amanat kepada para delegasi.

-- BERNAMA