Mesir Tolak Normalisasi Rakyat Dengan Israel Tanpa Keamanan Adil, Negara Palestin
KAHERAH/ISTANBUL, 5 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi menegaskan tidak akan berlaku "normalisasi rakyat" dengan Israel melainkan keamanan yang adil dicapai, yang menamatkan pendudukan Israel di wilayah Palestin dan membawa kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, lapor Anadolu Ajansi.
Kenyataan Sisi itu dibuat dalam ucapan pada Sabtu sempena majlis perasmian ibu pejabat Markas Strategik Negara di Ibu Kota Pentadbiran Baharu Mesir, timur Kaherah, menurut kenyataan Presiden Mesir.
"Tidak akan ada keamanan berkekalan, kestabilan sebenar dan normalisasi rakyat kecuali dengan keamanan yang adil, yang menamatkan pendudukan, menghentikan kezaliman dan pencerobohan, mengembalikan hak kepada pemiliknya yang sah serta menyediakan keselamatan untuk semua," kata Presiden itu.
Beliau berkata keamanan yang adil akan memberi rakyat di rantau itu "peluang untuk hidup dalam kestabilan dan kemakmuran."
Sisi turut menyeru sokongan terhadap gencatan senjata di Gaza yang berkuat kuasa pada Oktober 2025, selain perjanjian rangka kerja terbaharu antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan konflik mereka.
Beliau juga menggesa usaha bagi menghalang sebarang percubaan untuk menjejaskan kedua-dua perjanjian itu.
Mengenai Markas Strategik Negara yang baharu dirasmikan itu, Sisi menyifatkannya sebagai satu kemajuan besar dalam keupayaan perintah dan kawalan serta pengurusan operasi Mesir.
Beliau berkata kemudahan itu dilengkapi dengan infrastruktur teknologi canggih, sistem komunikasi selamat, keupayaan pengumpulan dan analisis risikan serta rangka kerja bersepadu yang menghubungkan kepimpinan politik dan ketenteraan.
"Markas itu bukan sahaja bertanggungjawab menguruskan situasi ketenteraan, malah menjadi tunjang kepada keupayaan negara dalam menghadapi cabaran dan keadaan luar biasa," katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU
Kata kunci
Berita terkini
- SSMP Pertahan Kejuaraan Ragbi MCKK Premier 7s
- PRN Johor: Lili Optimis Penerimaan Pengundi, Kesal Bahan Kempen Disabotaj
- Agong, Raja Permaisuri Berangkat Ziarah Makam Almarhum Tunku Abdul Jalil
- Wanita Cedera Tersepit Di Bawah Kereta Yang Bergerak Sendiri
- Persatuan Tahanan Palestin Bimbang Keadaan Pengarah Hospital Gaza Yang Ditahan