PRN Johor: Lili Optimis Penerimaan Pengundi, Kesal Bahan Kempen Disabotaj
PASIR GUDANG, 5 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram Nor Zulaila Abd Ghani menyifatkan maklum balas dan penerimaan masyarakat sepanjang tempoh berkempen sebagai amat positif meskipun mengakui wujud "gangguan" kecil di media sosial.
Nor Zulaila, yang lebih mesra disapa Lili, berkata rata-rata penduduk memberikan sambutan menggalakkan setiap kali beliau mengadakan tinjauan mesra di lapangan sekali gus membuktikan sokongan padu terhadap gabungan politik itu.
"Setakat ini, maklum balas sangat positif... memang kita melihat ada kecaman tetapi ia hanya terhad di media sosial seperti Facebook sahaja manakala situasi di lapangan pula, kami tidak menerima sebarang provokasi atau kecaman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas program Borak-Borak Bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong di Ruang Kopi Kita, Kota Masai di sini hari ini.
Mengulas mengenai strategi kempennya, Lili berkata beliau kini aktif mendekati golongan muda menerusi platform sukan dan riadah termasuk menyertai perlawanan sepak takraw, futsal serta snuker bersama komuniti setempat.
Beliau berkata pendekatan santai itu bertujuan menyuntik kesedaran kepada golongan belia mengenai kepentingan tanggungjawab sebagai pengundi memandangkan segelintir daripada mereka masih bersikap skeptikal terhadap senario politik tanah air.
"Saya sentiasa berpesan kepada mereka, suka atau tidak, keluar mengundi adalah tanggungjawab kita kerana corak kehidupan seharian serta dasar yang digubal oleh kerajaan pada masa hadapan ditentukan melalui proses ini," katanya.
Dalam pada itu, Lili turut melahirkan kekesalan dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan vandalisme membabitkan perbuatan menconteng papan iklan kempen beliau baru-baru ini.
Bagaimanapun, tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, beliau berharap baki tempoh berkempen menjelang hari pengundian berjalan secara matang, sihat dan harmoni.
PRN Johor kali ini menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini manakala undi awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N40: TIRAM: 117,496
1. Datuk Abdul Halim Suleiman (BN-UMNO)
2. Nor Zulaila Abd Ghani (PH-DAP)
3. Dr Harith Fakhrudin Abdul Malek (Bersama)
4. Khirul Muntanazar Ismail (PN-PAS)
(2022: Azizul Bachok: BN-UMNO: Maj: 5,281)
Berita terkini
- PM Hargai Sokongan Warga Emas Kayuh Beca Untuk Bertemu Dengannya
- SSMP Pertahan Kejuaraan Ragbi MCKK Premier 7s
- PRN Johor: Lili Optimis Penerimaan Pengundi, Kesal Bahan Kempen Disabotaj
- Agong, Raja Permaisuri Berangkat Ziarah Makam Almarhum Tunku Abdul Jalil
- Wanita Cedera Tersepit Di Bawah Kereta Yang Bergerak Sendiri