Dialog PRN Johor Diteruskan Selasa Ini Tanpa Kehadiran Onn Hafiz
JOHOR BAHRU, 5 Julai (Bernama) -- Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Selasa ini akan diteruskan meskipun Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi difahamkan tidak dapat menghadirinya kerana komitmen lain.
Program anjuran bersama RTM, Astro AWANI dan Sinar Harian itu dijadual berlangsung di Auditorium RTM, Jabatan Penyiaran Negeri Johor bermula 8 malam.
Menurut surat jemputan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Johor, sesi dialog itu akan melibatkan peserta dari pelbagai jabatan, agensi dan Komuniti MADANI serta dijangka dihadiri calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik.
Sementara itu, seorang pegawai kepada Onn Hafiz ketika dihubungi mengesahkan beliau tidak dijadualkan menghadiri program berkenaan.
“Tidak... dalam atur cara pun, tiada (kehadiran) MB,” katanya ringkas.
Sebelum ini, RTM, Astro AWANI dan Sinar Harian mengemukakan jemputan rasmi kepada Onn Hafiz dan Maszlee bagi menyertai dialog berkenaan.
Dialog sejam itu bertujuan memberikan ruang yang adil dan seimbang kepada kedua-dua tokoh untuk berkongsi visi, dasar, keutamaan serta penyelesaian terhadap isu yang menjadi perhatian rakyat Johor.
PRN Johor kali ini menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini manakala undi awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Pemandu Disyaki Terbabit Kes Langgar Lari Maut Di Jalan Tun Razak Ditahan
- Kejatuhan Harga Durian: PM Anwar Akan Runding Dengan Li Qiang Perluas Pasaran Ke China
- PM Hargai Sokongan Warga Emas Kayuh Beca Untuk Bertemu Dengannya
- SSMP Pertahan Kejuaraan Ragbi MCKK Premier 7s
- PRN Johor: Lili Optimis Penerimaan Pengundi, Kesal Bahan Kempen Disabotaj