05/07/2026 06:53 PM

Tiga Beranak Ditahan Tipu Warga Emas Berkenaan Tawaran Kebajikan Di Teluk Intan

IPOH, 5 Julai (Bernama) -- Seorang wanita bersama anak lelaki dan perempuannya ditahan kerana disyaki terlibat dalam penipuan tawaran bantuan kebajikan yang menyebabkan seorang warga emas kerugian kira-kira RM8,000 dalam kejadian di sebuah hospital di Teluk Intan, 29 Jun lepas. 

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 22 hingga 50 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Semenyih, Selangor pada Jumaat lepas.

“Ketika kejadian, mangsa yang berumur 67 tahun ke hospital berkenaan untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Dia kemudiannya didatangi seorang wanita (suspek) yang memperkenalkan diri sebagai pekerja kebajikan dan menawarkan bantuan kebajikan masyarakat sebanyak RM2,000 sebulan kepada mangsa.

“Mangsa kemudian menyerahkan seutas rantai leher, sepasang subang, rantai pendek dan tiga cincin emas sebelum menyedari dirinya diperdaya apabila suspek tidak kembali menemuinya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd Alwi berkata dalam serbuan sama, turut dirampas pakaian dipercayai digunakan suspek semasa memperdayakan mangsa, selain polis berjaya mendapatkan semula barang kemas milik mangsa yang telah dijual di sebuah kedai pajak gadai di Teluk Intan.

“Kesemua suspek kini direman empat hari hingga 7 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali yang menawarkan bantuan kebajikan dengan meminta barang kemas atau wang tunai.

-- BERNAMA