Keluar Mengejut Ke Laluan Utama Punca Kemalangan Maut Di Sarikei
SARIKEI, 5 Julai (Bernama) -- Siasatan awal polis mendapati kemalangan mengorbankan tiga lelaki di KM431 Jalan Bulat, Lebuhraya Pan Borneo, di sini malam tadi dipercayai berpunca daripada tindakan sebuah kenderaan membuat pusingan P sebelum keluar secara mengejut ke laluan utama.
Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Aswandy Anis berkata kemalangan pada kira-kira 9 malam itu melibatkan dua Toyota Hilux.
Beliau berkata Toyota Hilux hitam dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun yang membawa dua lelaki dipercayai keluar secara mengejut ke laluan utama ketika membuat pusingan P sebelum dirempuh Toyota Hilux putih dipandu lelaki berusia 40 tahun dari arah Sibu menuju Sarikei.
Akibat perlanggaran itu, mereka yang menaiki Toyota Hilux hitam maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu sebuah lagi kenderaan cedera ringan dan dirawat di Hospital Sarikei.
Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Vincent Engan Tula, 33, Stevenson Sigau Ujang Satin, 20, dan Muhammad Saerozi, 41, warga Indonesia.
Aswandy berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Mustaqim menerusi talian 010-4427241 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Kapal Kargo Diserang Di Perairan Laut Merah Yaman
- Qatar Sambung Semula Pelayaran Maritim Selepas Penggantungan Sementara
- Lapan Cedera Dalam Tembakan Semasa Sambutan Hari Kemerdekaan AS
- Dialog PRN Johor Diteruskan Selasa Ini Tanpa Kehadiran Onn Hafiz
- Mesir Tolak Normalisasi Rakyat Dengan Israel Tanpa Keamanan Adil, Negara Palestin