05/07/2026 06:32 PM

RM3.5 Juta Diperuntuk Bagi Pembangunan Tiga Sukan Di Pahang - MB

KUANTAN, 5 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta bagi memperkasakan pembangunan tiga sukan di negeri itu, sebagai usaha melahirkan lebih ramai atlet yang mampu mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata inisiatif itu juga, merupakan usaha kerajaan negeri memperkukuh pembangunan sukan bermula pada peringkat akar umbi, sekali gus memastikan bakat baharu dapat dikenal pasti dan digilap.

Beliau berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi sukan bola sepak, bola jaring (RM1 juta) dan sepak takraw (RM500,000) pada tahun ini. 

“Inisiatif berkenaan juga selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meletakkan Pahang setanding dengan negeri lain, yang telah lama mendominasi arena sukan negara menerusi pencapaian dalam pelbagai kejohanan.

“Kalau buat program kena bersungguh-sungguh, bukan sekadar melepaskan batuk ditangga, ini komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan bidang sukan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Liga Bola Jaring Perdana Pahang 1st Piala Menteri Besar Pahang, di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri turut bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM500,000 bagi sukan bola jaring pada tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan meningkat kepada RM1.5 juta.

Beliau berkata selain melahirkan atlet berkualiti, pembangunan sukan turut dilihat sebagai medium penting bagi memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan disiplin dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Kejohanan Liga Bola Jaring Perdana menyaksikan 42 pasukan mengambil bahagian dengan pasukan Semambu muncul johan dan membawa pulang piala dan wang tunai RM10,000. 

-- BERNAMA