05/07/2026 06:35 PM

MARDI Tanam 25,000 Pokok Durian MS88 Setakat Ini

KUALA KANGSAR, 5 Julai (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menanam kira-kira 25,000 pokok durian hibrid MRDI Super 88 (MS88), di seluruh negara setakat ini.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata penanaman itu, melibatkan kawasan seluas kira-kira 242 hektar dengan sebahagian besar ditanam di Selangor dan negeri Pantai Timur.

“Durian hibrid MS88 merupakan antara tiga varieti premium durian yang dihasilkan MARDI sejak awal tahun 2000, selain MDUR78 dan MDUR79 yang ssntiasa menjadi kegemaran kepada penggemar raja buah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bersama dengna media di Taman Agroteknologi MARDI Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zabawi berkata MARDI sedang dalam proses pemilihan tiga varieti durian hibrid baharu, yang berpotensi diperkenalkan sebagai varieti premium bagi memenuhi permintaan industri dan penggemar raja buah itu.

Beliau berkata ketiga-tiga hibrid berkenaan kini berada pada peringkat penilaian, bagi memastikan ia memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki termasuk dari segi kualiti buah, penerimaan pengguna serta kesesuaian untuk diusahakan oleh petani.

“Setakat ini kita mempunyai beberapa hibrid yang dikenal pasti berpotensi untuk dilancarkan pada masa hadapan dan kini masih dalam proses pemilihan. Kita mahu memastikan hibrid itu diterima oleh penggemar durian serta sesuai ditanam oleh petani.

“Kita mempunyai kira-kira tiga varieti dalam perancangan ketika ini. Nama varieti itu belum boleh diumumkan, kerana kita merancang untuk melancarkannya pada musim durian supaya orang ramai dapat melihat dan merasai sendiri buah berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA