05/07/2026 05:24 PM

Gempa Bumi: Jordan Pindahkan 21 Rakyatnya Dari Venezuela

AMMAN, 5 Julai (Bernama-Xinhua) -- Jordan memindahkan 21 rakyatnya dari Venezuela susulan operasi tindak balas terhadap gempa bumi yang diselaraskan bersama rakan kongsi serantau, lapor Xinhua yang memetik Kementerian Luar dan Ekspatriat pada Ahad.

Kesemua mereka tiba di Amman menaiki pesawat kargo C-17 Tentera Udara Qatar, yang turut menghantar bantuan kemanusiaan, perubatan dan makanan dari Jordan ke ibu negara Venezuela, Caracas, pada Khamis.

Menurut kementerian itu, operasi berkenaan diselaraskan bersama oleh kementerian dan Angkatan Tentera Jordan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan di Venezuela dan Qatar.

Jordan, dengan kerjasama Qatar, menghantar dua pesawat membawa bantuan kemanusiaan pada Khamis dan Jumaat yang mengangkut kira-kira 52 tan bekalan perubatan khusus bagi merawat kecederaan dan luka, selain bekalan perubatan guna habis, barangan makanan keperluan serta pakej bantuan bagi memenuhi keperluan mendesak keluarga yang terjejas akibat bencana itu.

Sebagai sebahagian daripada tindak balas kemanusiaan antarabangsanya, Jordan turut mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada 100 anggota ke Venezuela.

Dua gempa bumi bermagnitud 7.2 dan 7.5 melanda kawasan utara Caracas minggu lepas. Pihak berkuasa pada Sabtu memaklumkan angka korban meningkat kepada 2,954 orang, manakala 16,592 lagi cedera.

-- BERNAMA-XINHUA