Pesakit Ebola Pertama Di Perancis Pulih
PARIS, 5 Julai (Bernama-WAM) -- Menteri Kesihatan Perancis Stephanie Rist mengumumkan pesakit pertama yang disahkan dijangkiti Ebola di Perancis telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan perubatan yang diperlukan, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Dalam satu kenyataan, Rist berkata pesakit berkenaan, seorang doktor yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan, pulang ke Perancis pada 23 Jun dari Republik Demokratik Congo (DR Congo) yang sedang berdepan penularan wabak Ebola.
Beliau diletakkan di bawah pemantauan perubatan rapi dan tidak mengalami gejala serius, sekali gus membolehkannya dibenarkan keluar dari hospital.
DR Congo berdepan penularan baharu wabak Ebola sejak 15 Mei.
Menurut angka rasmi terkini kerajaan, wabak itu telah meragut 438 nyawa daripada 1,502 kes yang disahkan.
-- BERNAMA-WAM