05/07/2026 03:40 PM

Kes Liwat: Polis Rakam Keterangan Saksi, Akan Panggil Pengurusan Kolej

SHAH ALAM, 5 Julai (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan dua individu dan akan memanggil beberapa lagi saksi termasuk pihak pengurusan sebuah kolej di sini bagi membantu siasatan kes cabul serta liwat yang dipercayai membabitkan seorang pekerja di situ.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah berkata dua individu itu ialah pengadu kes tersebut dan bapa suspek.

Sarudin berkata semakan awal polis mendapati suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu telah bekerja di kolej tersebut selama kira-kira dua tahun. 

“Berdasarkan maklumat awal petugas kolej, pihak pengurusan didakwa tidak membuat semakan rekod lampau semasa proses pengambilan bekerja menyebabkan mereka tidak mengetahui suspek mempunyai rekod berkaitan kesalahan seksual. 

“Rakaman percakapan pihak pengurusan kolej akan diambil bagi mengesahkan perkara itu serta membantu siasatan,” katanya. 

Sarudin berkata siasatan lanjut termasuk proses mendapatkan bukti digital dan laporan perubatan sedang dijalankan sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Beliau berkata suspek yang ditahan di sebuah restoran di sini, direman tujuh hari bermula semalam.

-- BERNAMA