Korea Selatan Lancar Satelit Cerapan Bumi Bersaiz Sederhana Keempat
SEOUL, 5 Julai (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan merancang untuk melancarkan satelit cerapan Bumi bersaiz sederhana generasi seterusnya yang keempat menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pentadbiran Aeroangkasa Korea (KASA) memaklumkan satelit seberat 500 kilogram itu dijadual dilancarkan pada 4.10 petang waktu Korea.
Satelit berkenaan telah menjalani pemeriksaan fungsi dan suntikan bahan api dalam tempoh sebulan lepas dan kini menunggu pelancarannya menggunakan roket Falcon 9.
Menurut KASA, ia dijadualkan berpisah daripada kenderaan pelancar kira-kira dua jam 22 minit selepas berlepas sebelum membuat hubungan pertama dengan stesen bumi kira-kira 31 minit kemudian menerusi stesen bumi Svalbard di Norway.
Satelit itu membawa muatan buatan tempatan, termasuk kamera cerapan yang mampu merakam imej seluruh Semenanjung Korea setiap tiga hari.
Kerajaan menjangkakan satelit itu akan digunakan bagi pelbagai aplikasi, termasuk pertanian dan pengurusan hutan, pemantauan perubahan hutan, tindak balas bencana, analisis perubahan iklim serta peningkatan keselamatan awam.
Selepas mencapai orbit sasaran pada altitud kira-kira 888 kilometer, satelit itu akan menjalani operasi awal di orbit selama empat bulan sebelum memulakan misi berskala penuh pada separuh pertama tahun depan, menurut agensi itu.
-- BERNAMA-YONHAP
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Beri Peluang Kami Laksanakan Manifesto, Bukti Bukan "Copy Paste" - Mohamad Sabu
- Mahkamah Rayuan Benar Ikat Jamin 14 Warga Asing Didakwa Miliki Dadah
- Mahkamah Tinggi Tolak Saman LFL Cabar Perintah Pofma Singapura
- Festival Bon Odori, Edisi Ke-50 Kembali Ke Sunway City Kuala Lumpur Pada 11 Dan 12 Julai
- Unit BM Greentech Ambil Alih NEFIN V Power Pada RM3.6 Juta