PRN Johor: Calon PHBukit Batu Lapor Polis, Kesal Bahan Kempen Disabotaj
KULAI, 5 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan sabotaj dan perbuatan khianat ke atas bahan kempennya.
Beliau mendedahkan bahawa bendera parti miliknya dicampakkan ke dalam longkang, manakala beberapa papan tanda (billboard) kempen turut dikoyakkan dalam kejadian di Kampung Sri Paya yang disedari, semalam.
Susulan itu, Arthur berkata satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Air Bemban bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.
"Kejadian sama juga berlaku di Taman Putri, billboard dan bendera kena sabotaj. Bagaimanapun, setakat ini kita tidak tahu siapa pelaku," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama N.51 Bukit Batu, di sini hari ini.
Meskipun berdepan provokasi sedemikian, Arthur menegaskan perkara itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus berkempen bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
Beliau dalam pada itu menyeru semua pihak agar mengamalkan politik matang dan berkempen secara harmoni tanpa melibatkan sebarang unsur permusuhan atau khianat.
DUN Bukit Batu menyaksikan persaingan lima penjuru melibatkan Arthur (PH-PKR), R. Kumaran (BN-MIC), M. Premanand (MUDA), G. Tamili (Bersama) serta calon Bebas, Kamaruzaman Ali
Pada PRN Johor kali ini sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N51 Bukit Batu: 49,963 pengundi
1. R. Kumaran (BN-MIC)
2. Kamaruzaman Ali (Bebas/IND)
3. G. Tamili (Bersama)
4. Chiong Sen Sern (PH-PKR)
5. M. Premanand (MUDA)
(2022: Chiong Sen Sern: PKR: Maj: 137
Kata kunci
Berita terkini
- KKM Sasar Lebih 500,000 Rakyat Manfaat Perkhidmatan Hab Kesejahteraan Tahun Ini
- Lebih 3,000 Delegasi Dijangka Hadir Konvensyen Khas PBB Zon Tengah 26 Julai Ini
- Tiga Beranak Ditahan Tipu Warga Emas Berkenaan Tawaran Kebajikan Di Teluk Intan
- Keluar Mengejut Ke Laluan Utama Punca Kemalangan Maut Di Sarikei
- RM3.5 Juta Diperuntuk Bagi Pembangunan Tiga Sukan Di Pahang - MB