Pembangunan Perlu Seimbang Di Johor - Anwar
JOHOR BAHRU, 4 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Johor memerlukan pembangunan yang lebih seimbang meliputi kawasan luar bandar dan kampung, di samping meneruskan pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Beliau berkata pembangunan negeri tidak seharusnya hanya tertumpu kepada projek mega, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi penyediaan kemudahan asas yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat seperti rumah mampu milik, sekolah, gerai, dewan masyarakat dan kemudahan awam lain.
“Kalau nak kata tak ada pembangunan, ada tetapi beza antara Johor Bahru (bandar) begitu tinggi berbanding (pembangunan) di Ulu Kempas umpamanya Ulu Tebrau. Itu setengah jam sahaja (jarak perjalanan).
“Takkan hendak ada bangunan 30 tingkat di Ulu Tebrau, tidak perlu tetapi jagalah sekolah, ada dewan dan masjid. Masjid (bawah) tanggungjawab (kerajaan negeri),” kata beliau ketika berucap pada program Kita Geng MADANI Johor: Malam Anak Muda Kempas di sini malam ini.
Turut hadir calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas Muhammad Faezuddin Mohd Puad dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha merealisasikan pembangunan yang lebih seimbang memerlukan sokongan rakyat untuk memilih pemimpin yang berani, tegas serta mampu membawa suara dan pandangan mereka.
"Kita perlu melantik anak muda dan calon yang membawa mesej serta pandangan rakyat. Hanya dengan cara itu kita boleh mengatur negeri Johor ini,” kata Anwar.
Beliau turut berkongsikan hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang gagah dan dihormati sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai Perdana Menteri.
“Saya nak Malaysia itu gagah, negara hebat dan rakyat terbela,” kata beliau.
Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Anwar mengulangi komitmen kerajaan bahawa proses pilihan raya akan berlangsung secara bebas dan adil.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan sesekali campur tangan dalam urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Hal ini yang kita kena jaga supaya negara kita dihormati dan terus berjaya sebagai sebuah negara hebat,” kata beliau.
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Ibu Dua Kanak-kanak Keluar Kepala Melalui "Sunroof" Ditahan
- Pembangunan Perlu Seimbang Di Johor - Anwar
- Polis Tahan 3 Lelaki Indonesia Disyaki Seludup Lebih 70,000 Kotak Minuman Keras
- Tiga Maut Dalam Kemalangan Di Lebuhraya Pan Borneo
- FKRK 2026 : Kelantan Terus Pelihara Warisan Seni Budaya Selari Tuntutan Syariat Islam