PETALING JAYA, 3 Okt (Bernama) -- Program Bakat Muda (YTP) CelcomDigi menjadi platform penting bagi graduan institusi pengajian tinggi di negara ini yang ingin membina kerjaya dalam sektor digital, sekali gus membantu merapatkan jurang pembelajaran di dewan kuliah dengan perkembangan teknologi terkini.
Program pengembangan kerjaya selama dua tahun itu memberi pendedahan kepada bakat baharu dalam industri teknologi, dengan peserta ditempatkan secara bergilir di beberapa unit perniagaan utama bagi mengaplikasikan teori yang dipelajari di universiti kepada kemahiran dan keupayaan dalam dunia pekerjaan.
Bagi peserta Kohort 1 YTP, Matthew Ng Yee Chun, 26, penempatan secara bergilir yang ditawarkan program itu menjadi faktor utama menarik minatnya untuk menyertai YTP kerana bidang keselamatan siber merangkumi pelbagai aspek dan kemahiran.
“Perkara yang menarik minat saya ialah apabila melihat perkataan ‘rotational’ (bergilir) dalam huraian pekerjaan ini kerana saya fikir saya akan mempelajari banyak perkara berbeza dalam bidang keselamatan siber. Bidang ini sendiri sangat luas, pelbagai aspek dan kemahiran boleh dipelajari,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini semalam.
Ng, yang kini ditempatkan di pasukan kejuruteraan CelcomDigi dan mengendalikan projek berkaitan keselamatan siber, berkata beliau berasa teruja dan bersyukur kerana terpilih daripada lebih 3,000 pemohon.
Mengenai peralihan daripada alam universiti ke sektor korporat, Ng berkata antara penyesuaian terbesar yang perlu dilaluinya ialah beralih daripada tugasan secara individu di universiti kepada persekitaran kerja yang lebih menekankan kerja berpasukan dan kerjasama.
“Di universiti, lebih banyak tugasan dilakukan secara individu tetapi apabila memasuki dunia pekerjaan, ia lebih kepada kerja berpasukan. Itu merupakan antara kejutan budaya terbesar yang saya alami ketika menyertai CelcomDigi,” katanya.
Berhubung perancangan masa hadapan, Ng berkata beliau berhasrat untuk meningkatkan kepakaran dalam bidang keselamatan siber, selain meneroka bagaimana kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan bagi menangani ancaman digital yang muncul, khususnya ketika perkembangan pesat teknologi hadir bersama-sama risiko baharu.
Sementara itu, peserta Kohort 2 YTP, Airina Hani Mohd Endan, 23, berkata format penempatan secara bergilir dan pendekatan berasaskan pengalaman langsung yang ditawarkan program itu memberikannya pendedahan amat berharga kepada teknologi baharu yang sedang digunakan secara aktif dalam industri.
“Saya tahu saya akan berpeluang mempelajari banyak perkara baharu yang sebelum ini tidak pernah saya dengar tetapi teknologi itu sebenarnya sudah ada di Malaysia dan digunakan dalam kehidupan sebenar. Ini antara perkara yang menarik minat saya,” katanya.
Graduan Universiti Malaya (UM) yang ditempatkan dalam aliran AI dan Automasi itu berkata asas kukuh yang diperoleh di universiti banyak membantunya mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran CelcomDigi yang bergerak pantas serta tuntutan dunia pekerjaan sebenar.
Bagi Airina, peralihan itu turut menuntut keyakinan diri yang tinggi dan keberanian untuk menyuarakan pandangan, memandangkan sebelum ini beliau menganggap dirinya seorang yang pemalu.
“Sebagai seorang yang sangat pemalu, saya perlu memberanikan diri tampil ke hadapan dan menyuarakan pendapat. Saya tidak boleh hanya berada di belakang atau bekerja di sebalik tabir. Saya perlu berani menonjolkan diri,” katanya.
Airina juga berharap dapat meneroka bagaimana AI boleh dimanfaatkan untuk memberikan impak lebih luas kepada masyarakat, termasuk memperkasa komuniti yang berisiko terpinggir akibat transformasi digital, selain menekankan peranan penting keselamatan siber dalam memastikan penerapan teknologi tersebut dilakukan secara selamat.
Dilancarkan di bawah inisiatif CD:NXT CelcomDigi pada Ogos 2025, YTP distrukturkan sebagai program pembangunan kerjaya selama dua tahun bagi memupuk bakat rakyat Malaysia yang berpotensi untuk menjadi pemimpin digital pada masa hadapan.
Pengambilan sulung program itu menerima hampir 3,600 permohonan untuk hanya 20 penempatan, dengan peserta mengasah kemahiran dalam bidang AI, keselamatan siber, kejuruteraan awan, analitik data dan inovasi digital.
-- BERNAMA