03/07/2026 07:04 PM

BN Hormati Manifesto PH - Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) menghormati manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang berlangsung pada 11 Julai ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, gabungan politik itu sentiasa meraikan apa sahaja tawaran oleh mana-mana parti yang bertanding.

"Saya telah meneliti manifesto itu... kita menghormati apa yang mereka cadangkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa Tabika Kemas Bangsa Johor di Flat Perumahan Larkin Court 1 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Larkin Mohd Hairi Mad Shah.

Terdahulu, PH melancarkan manifesto 10 tawaran antaranya Skim Kesihatan Johor, bantuan deposit bagi pemilikan rumah pertama, peruntukan dana RM500 juta bagi memperkasakan pembangunan generasi muda dan pemerkasaan sektor pendidikan.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata manifesto BN bersandarkan kepada rekod kecemerlangan kerajaan negeri penggal lepas yang berjaya merealisasikan lebih 90 peratus daripada janji yang dibuat sebelum ini.

Beliau berkata manifesto kali ini dirangka secara komprehensif bagi menyantuni setiap lapisan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana kaum atau latar belakang sosial.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata manfaat ditawarkan meliputi pelbagai peringkat kehidupan rakyat bermula daripada ibu mengandung, kanak-kanak, pelajar sekolah, mahasiswa sehinggalah golongan ibu serta bapa tunggal.

"Selagi siapa sahaja tinggal di Johor, mereka dianggap sebagai sebahagian daripada Bangsa Johor dan menerima manfaat yang sama," katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan akan terus membantu pembangunan Johor selagi menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini manakala undi awal pada 7 Julai. 

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA