"Anak JB Untuk Orang JB" Taruhan Mohd Hairi Di Larkin
Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Status sebagai “anak jati” dan pemahaman mendalam terhadap denyut nadi penduduk menjadi taruhan utama Mohd Hairi Mad Shah dalam misi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Mempertaruhkan slogan "Anak JB untuk Orang JB", calon Barisan Nasional (BN) itu menyifatkan faktor membesar dan bersekolah di kawasan itu memberikannya kelebihan untuk menyelami isu setempat serta berkhidmat secara lebih efektif.
"Kelebihan saya, saya duduk dalam kawasan Larkin, saya tahu demografi Larkin, (malah) saya bersekolah dalam kawasan sini," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Mohd Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata pengalamannya sebagai Exco kerajaan negeri turut memperkukuh rekod khidmat baktinya untuk terus diberi mandat oleh penduduk.
Mengulas mengenai momentum kempen selama seminggu ini, Naib Ketua Pemuda UMNO itu berkata beliau enggan membiarkan rasa selesa menguasai diri meskipun menerima maklum balas memberangsangkan daripada masyarakat.
Beliau tetap komited memanfaatkan baki tempoh berkempen untuk meluaskan jangkauan jelajahnya ke segenap pelosok DUN berkenaan bagi menyantuni seramai mungkin daripada 76,662 pengundi berdaftar.
"Rata-rata (masyarakat) yang saya jumpa memberikan petanda yang cukup positif untuk saya tetapi saya tidak mendabik dada dan terlebih yakin. Saya akan terus menjalankan mandat yang diberikan oleh parti," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hairi mengingatkan pengundi agar tidak menjadikan PRN kali ini sebagai medan “percubaan” dalam memilih wakil rakyat, sebaliknya perlu menilai berdasarkan prestasi dan kestabilan.
"Dalam keadaan (pilihan raya) sekarang kita tidak boleh lagi membuat eksperimen, sebaliknya yakin dengan kebolehan pentadbiran hari ini di bawah kepimpinan orang muda serta parti yang sedang melalui proses rejuvenasi," katanya.
Pada PRN 2022, Mohd Hairi memenangi DUN Larkin dengan majoriti 6,178 undi dalam saingan enam penjuru.
Kali ini, dalam misi mempertahan DUN tersebut beliau akan dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat serta Norsinah Abu daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N44 Larkin: 76,662 pengundi
1. Norsinah Abu (Bersama)
2. Suhaizan Kayat (PH-Amanah)
3. Mohd Hairi Mad Shah (BN-UMNO)
(2022: Mohd Hairi Mad Shah: BN-UMNO: Maj: 6,178)
Kata kunci
Berita terkini
- Individu Disenarai Hitam Antara 13 Warga Asing Ditahan Di Sempadan Kelantan
- Petugas AADK Maut Dilanggar Pemandu Disyaki Positif Dadah
- Inovasi Dalam Penjagaan Kesihatan Ibu Mesti Berteraskan Belas Ihsan - Wan Azizah
- Pekerja Terselamat Jatuh Dari Ketinggian 9 Meter Bangunan Kilang
- BUDI Diesel: Hampir 200,000 Dapat Manfaat Dalam Tempoh Tiga Hari Pelaksanaan