KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) mengingatkan orang ramai dan syarikat penyedia perkhidmatan supaya berwaspada terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyamar sebagai pegawai kementerian bagi mengemukakan Pesanan Kerajaan dan dokumen perolehan palsu.
MOT memaklumkan pihak berkenaan telah menyalahgunakan nama, identiti dan jawatan pegawai bagi tujuan berkenaan.
“MOT menegaskan bahawa segala urusan perolehan kementerian dilaksanakan mengikut tatacara kewangan dan perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa melalui saluran dan sistem rasmi, termasuk Sistem ePerolehan.
“Sehubungan dengan itu, sebarang Pesanan Kerajaan atau dokumen perolehan yang tidak dapat disahkan melalui saluran rasmi adalah tidak sah dan tidak mewakili MOT,” menurut MOT dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, pihak pembekal, kontraktor dan syarikat perkhidmatan dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang pembekalan, penyediaan perkhidmatan atau transaksi kewangan berdasarkan dokumen atau arahan yang meragukan sehingga kesahihannya disahkan dengan kementerian terbabit.
Sekiranya terdapat sebarang keraguan berkaitan ketulenan dokumen atau Pesanan Kerajaan yang diterima, penyedia perkhidmatan boleh menghubungi Pusat Panggilan MOT di talian 1 800 88 7723 atau e-mel rasmi aduan@mot.gov.my.
Selain itu, mana-mana pihak yang menerima dokumen disyaki palsu atau mengalami kerugian akibat penipuan tersebut digesa segera membuat laporan polis dan menyimpan semua dokumen serta rekod komunikasi berkaitan untuk tujuan siasatan.
“MOT memandang serius penyalahgunaan nama dan identiti pegawai Kementerian serta menyeru semua pihak agar sentiasa berwaspada dan membuat pengesahan melalui saluran rasmi sebelum melaksanakan sebarang urusan yang melibatkan Kementerian,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA