Am 02/10/2026 03:10 PM

LRT3 Laluan Shah Alam Perkukuh Akses Mobiliti, Pacu Ekonomi Setempat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
LRT3 Laluan Shah Alam Perkukuh Akses Mobiliti, Pacu Ekonomi Setempat
Orang ramai membeli barang keperluan seperti baju, kerepek, makanan dan pelbagai jenis barang dengan mudah selepas adanya kemudahan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) berhampiran Pasar Jawa Klang.

SHAH ALAM, 2 Okt (Bernama) -- Tiga bulan selepas beroperasi, Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam mula memberikan kesan positif terhadap aktiviti ekonomi setempat apabila pertambahan pengguna di beberapa kawasan jajaran membuka peluang baharu kepada peniaga dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bukan sekadar memudahkan pergerakan penduduk, laluan sepanjang 37.8 kilometer (km) itu turut meningkatkan akses ke kawasan komersial dan tumpuan awam termasuk Jambatan Kota, Klang, Seksyen 7, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Stadium Shah Alam, sekali gus berpotensi merancakkan perniagaan serta pelancongan domestik di kawasan berkenaan.

Bagi peniaga cendol di Jambatan Kota, Klang, Shahjahan Jalal Khan, 48, pembukaan stesen LRT3 berhampiran dengan premis perniagaannya memberikan limpahan rezeki kepada perniagaan warisan keluarga yang dimulakan bapanya di Pasar Jawa sejak 1970-an.

Shahjahan yang mengambil alih perniagaan itu pada 2015 berkata sebelum ini, dia banyak bergantung pada pelanggan tetap, namun jumlah jualan meningkat sejak Stesen Jambatan Kota mula beroperasi pada 29 Jun lepas.

“Sekarang, kami boleh menjual hingga 800 mangkuk cendol sehari, terutama pada cuti umum dan hujung minggu,” katanya.

Laluan LRT3 itu juga, katanya, mempunyai potensi untuk menyokong sektor pelancongan domestik kerana memudahkan orang ramai mengunjungi lokasi menarik di sekitar Klang termasuk Little India, Galeri Sultan Abdul Aziz dan Laman Seni Safari Jejak Warisan.

“Pelancong tidak perlu risau tentang masalah parkir atau kesesakan lalu lintas kerana mereka boleh menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain,” katanya.

LRT3 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jun lepas melibatkan jajaran sepanjang 37.8 km dengan pelaburan RM16.63 bilion, dan dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk dari Bandar Utama hingga Johan Setia, Klang.

Laluan Shah Alam itu merupakan penghubung ke Pusat Bandar melalui stesen pertukaran di Glenmarie 2 dan Bandar Utama.

Bagi menyokong operasi laluan berkenaan, Prasarana Malaysia Berhad turut menyediakan 40 bas pengantara dan 40 van Rapid On-Demand dengan sasaran 67,000 perjalanan penumpang sehari pada tahun pertama operasi sebelum meningkat kepada 117,708 perjalanan sehari dalam tempoh lima tahun. 

Dalam pada itu, kemudahan pas My50 yang ditawarkan Prasarana turut membantu mengurangkan kos perjalanan harian pengguna, sekali gus menggalakkan lebih ramai penduduk menggunakan pengangkutan awam dan memberikan lebihan perbelanjaan untuk aktiviti ekonomi di sekitar kawasan jajaran.

Bagi pelajar, Muhammad Noor Fadzly, 25, berkata kewujudan LRT3 memberikan lebih banyak pilihan mobiliti, khususnya bagi urusan ke kampus, kawasan komersial dan keperluan harian.

“Dahulu, saya banyak bergantung pada kenderaan sendiri dan perlu berdepan dengan kesesakan, tetapi sekarang lebih mudah untuk ke kawasan komersial bagi mendapatkan makanan, perkhidmatan atau menjalankan urusan harian,” katanya.

Sementara itu, usahawan kerepek Lizawati Shukor, 46, yang telah menjalankan perniagaan selama 25 tahun berharap kehadiran LRT3 dapat menarik lebih ramai pelanggan ke kawasan perniagaannya berhampiran Pasar Jawa.

Lizawati berkata sambutan terhadap perniagaan menunjukkan peningkatan sejak awal operasi LRT3, sekali gus memberikan keyakinan bahawa kawasan berkenaan mampu terus menjadi tumpuan ekonomi kepada PMKS.

Beliau berkata lokasi perniagaan yang telah beroperasi sejak 1970-an itu bukan sahaja mempunyai nilai sejarah, malah berpotensi menjadi antara kawasan yang terus menerima manfaat daripada peningkatan akses pengangkutan awam.

Dalam pada itu, pelajar tahun pertama, Nurul Asyiqin Mohd Sham, 20, berkata pengalaman pertamanya menaiki LRT3 memberikan gambaran positif terhadap kemudahan pengangkutan awam baharu itu kerana tambang berpatutan selain tempoh menunggu juga tidak lama serta keadaan tren yang selesa.

-- BERNAMA