ALOR GAJAH, 2 Okt (Bernama) -- Teknologi pembinaan Modular Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang kini digunakan bagi mempercepat pembinaan bilik darjah tambahan di sekolah, berpotensi diperluas bagi projek bangunan lain termasuk klinik, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Beliau berkata penggunaan teknologi tersebut sesuai dipertimbangkan bagi projek yang memerlukan tempoh pembinaan singkat memandangkan penyiapan bangunan boleh dilaksanakan dalam tempoh antara empat hingga lima bulan menerusi teknologi itu berbanding kaedah konvensional yang boleh mengambil masa dua hingga tiga tahun.
"Kita berharap teknologi ini boleh digunakan untuk klinik misalnya, digunakan untuk bangunan-bangunan yang perlukan kepantasan.
"Dari segi kualiti, sama saja, dari segi kekukuhan bangunan sehingga 30 tahun saya difahamkan, lebih kurang sama dengan bangunan yang lain," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap JKR Melaka kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Ahmad berkata bagaimanapun, pelaksanaan teknologi Modular IBS ketika ini masih menumpukan kepada dua kategori projek sekolah iaitu penambahan bilik darjah di sekolah berkepadatan tinggi serta pembinaan bilik darjah tambahan bagi menampung kemasukan murid tahun satu berusia enam tahun bagi sesi persekolahan 2027.
"Belum (mana-mana permohonan). Kita mula dengan dua jenis. Satu, sekolah berkepadatan tinggi untuk tambah bilik darjah. Satu lagi, sekolah dengan ada penambahan murid apabila kanak-kanak umur enam tahun boleh masuk darjah satu.
"Jadi, kita mula dengan dua ini dulu. Klinik belum lagi," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak 145 projek bernilai RM1.648 bilion di Melaka dilaksanakan Kementerian Kerja Raya bagi pihak Kementerian Pendidikan, dengan 20 projek telah siap, 99 sedang dibina manakala 26 masih pada peringkat prabina.
Beliau berkata bagi projek sekolah berkepadatan tinggi yang melibatkan tambahan bilik darjah, sebanyak lima sekolah terlibat dengan sebut harga RM7.2 juta, dengan enam projek telah siap dan empat lagi dijangka disiapkan hujung tahun ini.
"Bagi projek bilik darjah tambahan bagi tahun satu sesi 2027, projek itu melibatkan 73 projek di 53 sekolah dengan kos RM40.3 juta dan kesemuanya dijangka siap selewat-lewatnya Disember ini.
"Turut dilaksanakan ialah projek dewan serbaguna terbuka berbumbung membabitkan tujuh sekolah dengan kos RM6.5 juta yang turut disasarkan siap hujung tahun ini," katanya.
-- BERNAMA