Am 02/10/2026 02:53 PM

Perkasa GPS Sebagai Wadah Budayakan Sikap Prihatin, Kesukarelawanan - Armizan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perkasa GPS Sebagai Wadah Budayakan Sikap Prihatin, Kesukarelawanan - Armizan
Kredit: Fb Armizan Mohd Ali

KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) -- Gerakan Pengguna Siswa (GPS) perlu terus diperkasakan sebagai wadah untuk membudayakan sikap prihatin, kesukarelawanan dan saling membantu dalam kalangan mahasiswa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata penglibatan GPS dalam menangani isu kos sara hidup perlu membawa manfaat langsung kepada kehidupan mahasiswa, termasuk menerusi pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di institusi pendidikan tinggi (IPT).

“Empati dan peduli rakan mahasiswa … inilah antara transformasi peranan GPS yang mahu kita perkukuh melalui i-FB sejajar dengan tiga terasnya 3S, iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi laman Facebooknya hari ini bersempena dengan Program Advokasi Kepenggunaan dalam Aktivisme Belia dan Penyerahan Geran i-FB yang dihadiri lebih 1,000 mahasiswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu, di sini malam tadi.

Armizan berkata ketika ini, terdapat 196 GPS di seluruh negara, termasuk 34 GPS di Sabah, manakala 56 GPS terlibat dalam menjayakan i-FB di IPT masing-masing, termasuk tujuh di Sabah.

Jaringan berkenaan, katanya, dapat menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama mahasiswa, pihak institusi, sektor swasta dan rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan pelaksanaan i-FB dapat digerakkan secara berterusan.

“Melalui i-FB, mereka turut menjadi penggerak yang menyuburkan budaya kepedulian, kesukarelawanan dan saling membantu, sekali gus membina jaringan sokongan agar mahasiswa yang berdepan dengan kekangan dapat memberikan tumpuan pada pengajian,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata program berkenaan turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk berdialog tentang isu kos sara hidup serta peranan mereka dalam menggerakkan advokasi kepenggunaan di kampus.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Belia Sabah, pihak UiTM Sabah dan semua rakan strategik atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.

Beliau berharap usaha bersama itu dapat terus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pengguna yang bijak dan cakna, selain menjadi penggerak komuniti kampus yang prihatin terhadap kebajikan sesama mereka.

-- BERNAMA