KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Semua pihak perlu memastikan kewangan Islam kekal inovatif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global dalam menghadapi fasa ketidaktentuan global dan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dunia Islam seharusnya menyuburkan kepimpinan pemikiran Syariah yang bukan sahaja berakar umbikan tradisi, malah responsif dan tangkas mendepani realiti kontemporari.
“Himpunan Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR) 2026 yang dianjurkan hari ini mencerminkan hakikat bahawa tiada satu negara, institusi atau seorang cendekiawan pun yang mampu mendepani cabaran ini secara bersendirian.
“Kita wajib memperkukuh kerjasama strategik antara cendekiawan, pengawal selia, institusi kewangan dan dunia akademik,” katanya.
Teks ucapan perasmian iSHAR 2026 oleh Anwar dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan di sini, hari ini.
Anwar berkata Malaysia kini diiktiraf sebagai perintis dalam ekosistem kewangan Islam global, namun kedudukan itu bukan semata-mata demi prestij atau nama, sebaliknya didorong oleh keperluan dunia terhadap sistem kewangan yang berteraskan etika, keadilan dan ihsan.
“Kerangka MADANI yang kita junjung menuntut keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab moral, antara keuntungan dengan matlamat murni. Kewangan Islam yang berteraskan prinsip Syariah menawarkan acuan yang tepat untuk mencapai keseimbangan itu,” katanya.
Beliau berkata persoalan kewangan hari ini bukan sekadar berkaitan aspek teknikal, malah turut menyentuh persoalan moral tentang bagaimana sistem kewangan dapat berkhidmat untuk kemanusiaan.
Dalam konteks itu, Anwar berkata keadilan, ketelusan dan akauntabiliti mesti terus menjadi tunjang institusi ekonomi dan kewangan dalam menghadapi persekitaran global yang semakin kompleks.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama strategik antara cendekiawan, pengawal selia, institusi kewangan dan dunia akademik perlu terus diperkukuh bagi menangani cabaran berkenaan secara berkesan.
Perdana Menteri turut menyeru supaya komitmen terhadap keadilan dalam sistem kewangan, keterangkuman dalam penyertaan ekonomi, kemampanan dalam pembangunan serta integriti dalam setiap urusan dan transaksi terus diperkukuh.
-- BERNAMA