KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kolam Takungan Banjir (KTB) Batu berpotensi dinaik taraf kepada sistem dwifungsi bagi membolehkannya dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air alternatif, selain mengekalkan fungsi asal sebagai kolam tebatan banjir.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan menyatakan menerusi inisiatif itu, KTB Batu dicadangkan menyediakan sehingga 10 juta liter sehari (MLD) sumber bekalan air alternatif bagi kegunaan domestik dan industri di kawasan Batu di sini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 5 MLD dicadangkan untuk kegunaan domestik yang berpotensi memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 unit rumah, manakala baki 5 MLD bagi kegunaan industri.
Menurut PETRA, kajian terdahulu mendapati KTB Batu mempunyai potensi pengabstrakan air sehingga 95 MLD, namun bagi projek perintis, kapasiti 10 MLD dicadangkan terlebih dahulu untuk menilai kebolehlaksanaan konsep dwifungsi berkenaan.
Cadangan tersebut ketika ini masih tertakluk kepada pengesahan menerusi Kajian Kebolehlaksanaan dan Reka Bentuk Konsep yang sedang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).
Projek perintis ini dilaksanakan dalam dua fasa, dengan Fasa 1 melibatkan Kajian Kebolehlaksanaan dan Reka Bentuk Konsep yang dijangka selesai pada Disember 2026, manakala Fasa 2 melibatkan pelaksanaan fizikal berdasarkan dapatan kajian dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan.
PETRA memaklumkan fungsi utama KTB Batu sebagai kolam tebatan banjir kekal menjadi keutamaan, manakala kajian yang sedang dilaksanakan akan menilai keperluan teknikal bagi memastikan penggunaan kolam itu sebagai sumber air alternatif tidak menjejaskan fungsi tebatan banjir sedia ada.
Dari aspek keselamatan air, kajian berkenaan turut menilai secara terperinci kualiti air mentah, tahap pencemaran serta kebolehrawatan air bagi memastikan kesesuaiannya untuk dijadikan sumber bekalan air alternatif.
Menurut PETRA, projek berkenaan selaras dengan aspirasi Dasar Air Negara (DAN) untuk memperkukuh keterjaminan air menerusi pengurusan sumber air yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan.
Inisiatif itu juga dijangka meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi impak perubahan iklim serta kejadian cuaca ekstrem termasuk banjir dan kemarau.
-- BERNAMA