KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi 10 Briged (Para) sedang melaksanakan Eksesais LINUD MALINDO 2026 bersama-sama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TN-AD) di sekitar Kem Terendak, Melaka dan Kawasan Am Yan, Kedah.
TDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan eksesais itu berlangsung dari 26 Sept hingga 5 Okt, dengan fasa serangan akhir dijadualkan berlangsung Ahad ini dan tertumpu di Kawasan Am Yan, Kedah.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar kekal tenang dan tidak cemas dengan peningkatan pergerakan anggota tentera bersenjata, konvoi taktikal kenderaan berat serta bunyi letupan terkawal di kawasan berkenaan.
“Segala aktiviti ini merupakan sebahagian daripada senario latihan ketenteraan yang dirancang rapi dengan pematuhan mutlak terhadap parameter keselamatan awam,” menurut kenyataan itu.
TDM memaklumkan pihaknya menghargai kefahaman dan kerjasama daripada pihak berkuasa negeri serta komuniti setempat bagi memastikan kelancaran eksesais tanpa menjejaskan ketenteraman harian, demi kelangsungan kedaulatan negara.
-- BERNAMA