JOHOR BAHRU, 2 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan 200,000 pelitup muka kepada penunggang motosikal warga Malaysia yang bekerja di Singapura susulan jerebu di Johor.
Menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kurniaan itu disampaikan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah serta Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.
Simbolik penyerahan disempurnakan Pengurus Kanan YSIJ Shah Reza Md Kanafe dan Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ Hishamuddin Abd Rahim kepada Penolong Komander Pintu Masuk AKPS KSAB Wan Muhammad Firdaus Wan Kamari serta Ketua Unit Penguat Kuasa AKPS BSI Sapian Kamarudin.
Hishamuddin berkata sumbangan itu mencerminkan keprihatinan Raja Permaisuri Agong terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya pekerja yang terdedah kepada risiko masalah pernafasan akibat jerebu.
“Inisiatif sumbangan pelitup muka ini bukti keprihatinan Seri Paduka Baginda yang sentiasa mengutamakan kesihatan rakyat, terutamanya penunggang motosikal yang terpaksa berhadapan cuaca buruk dan jerebu berpanjangan ketika berulang-alik mencari rezeki setiap hari,” katanya.
YSIJ dengan kerjasama Eco-Shop menyumbang 100,000 pelitup muka manakala YRZSNJ turut menyumbang jumlah yang sama.
Kesemua 200,000 pelitup muka itu akan diagihkan secara berkala kepada penunggang motosikal yang melalui dua pintu masuk negara tersebut.
-- BERNAMA